Kerajaan Malaysian terbuka kepada cadangan Khazanah Nasional Bhd untuk menjual pegangannya dalam Silterra Malaysia Sdn Bhd kepada pelabur asing tetapi hanya pada harga yang sesuai, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Cabang pelaburan strategik kerajaan itu mempunyai 98 peratus pegangan dalam syarikat pembuat wafer semikonduktor itu. Desas desus mengenai penjualan berkenaan sama ada sebahagian pegangan atau keseluruhan syarikat bermula sejak 2008.

Datuk Seri Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata usaha untuk menggalakkan syarikat tempatan membeli pegangan dalam Silterra tidak berhasil.

"Kita telah memberi peluang kepada rakan kongsi tempatan atau peserta industri tempatan untuk mengambil alih Silterra tetapi mereka tidak mempunyai sumber yang sewajarnya untuk berbuat demikian. Sekarang ini kita terbuka kepada syarikat asing," katanya kepada media Malaysia pada akhir lawatan rasmi tiga hari ke Jerman.

"Tetapi bukan pada harga tertentu. Ia akan pada harga yang boleh diterima dan memastikan operasi Silterra akan memberi faedah Malaysia juga," kata beliau semasa ditanya sama ada syarikat pembuat wafer semikonduktor Jerman, X-Fab Silicon Foundaries, mengemukakan sebarang cadangan untuk membeli pegangan itu.

Datuk Seri Najib, yang telah mengadakan pertemuan dua hala dengan Ketua Pegawai Eksekutif X-Fab, Rudi De Winter semasa lawatannya di sini, tidak mengesahkan mahupun menafikan sebarang cadangan mengenainya.

X-Fab memiliki 65 peratus pegangan dalam X-Fab Sarawak Sdn Bhd, manakala baki 35 peratus dipegang kerajaan negeri Sarawak. -- BERNAMA