Kerajaan akan memberi tumpuan dalam meningkatkan keupayaan penyediaan jalur lebar di kawasan pedalaman.

Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak, ia bagi menyokong usaha kerajaan dalam memastikan 95 peratus kawasan di negara dilengkapi jalur lebar menjelang 2020.

Salleh berkata, kerajaan akan memastikan pembangunan jalur lebar di kawasan terpencil mempunyai liputan yang baik, berkualiti dan ditawarkan pada harga mampu milik.

"Kami di Malaysia, tidak hanya memberi fokus kepada kawasan bandar dan pinggir bandar.

"Kami memastikan kawasan pedalaman akan menikmati manfaatnya kerana Malaysia bukan sahaja Kuala Lumpur, Pulau Pinang atau Selangor. Ia lebih daripada itu.

"Di Malaysia, kami mempunyai kawasan terpinggir, seperti di Sabah, Sarawak, Kelantan dan Perak. Oleh itu, kami perlu memastikan rakyat di kawasan tersebut turut meninkmati manfaat teknologi," kata Salleh.

Menurutnya, penembusan jalur lebar isi rumah meningkat 66.3 peratus antara 2006 hingga 2015.

Penembusan jalur lebar bagi peranti pula meningkat kepada 145 peratus ketika ini berbanding 72.3 peratus pada 2006.

Bagi perkhidmatan 3G pula ia menyediakan 88.2 peratus liputan di Malaysia. manakala perkhidmatan 4G mempunyai 52.5 peratus liputan.

Tambah beliau terdapat beberapa projek pengembangan jalur lebar yang dijangka siap dalam masa beberapa tahun.

Antaranya projek pengembangan liputan HSBB melalui projek HSBB 2 dan Projek Jalur Lebar Pinggir Bandar (SUBB).