Projek kereta nasional ketiga, seperti yang diilhamkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir, akan menggunakan teknologi dari Jepun buat masa ini, kata Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

Beliau berkata, walaupun sebelum ini ada laporan mengatakan Malaysia juga berkemungkinan mendapatkan khidmat China, namun buat masa ini keputusan kerajaan ialah teknologi Jepun sahaja.

“Polisi kita sentiasa menyebut Pandang ke Timur dan bila kita menyebut Pandang ke Timur, maksudnya kita memandang ke Jepun. Kita tidak melihat kepada China buat masa kini, tetapi memang secara spesifiknya kepada Jepun,” katanya kepada sidang media selepas merasmikan Pusat Sehenti Keusahawanan & MyPerinsit Bizrev, di ibu pejabat SME Corp, di ibu negara, hari ini.

Ditanya sekiranya Malaysia sudah memuktamadkan hasrat untuk mendapatkan bantuan Toyota atau Nissan, Ahli Parlimen Alor Gajah itu berkata, ia bergantung kepada pandangan Perdana Menteri sendiri.

Namun jelasnya lagi, kementerian beliau mempunyai fungsi khas bagaimana untuk menjayakan projek kereta nasional itu.

“Ini adalah kereta nasional buatan Malaysia untuk pasaran Asia dan global secara keseluruhan. Kita mensasarkan agar kereta ini dibina, berdasarkan sumbangan daripada usahawan-usahawan tempatan.

“Peranan kami di kementerian sangat jelas … kami perlu mengadakan merealisasikan kerjasama dengan sektor swasta, menjadi fasilitator kepada kesemua agensi kerajaan yang terlibat, serta memastikan rakyat faham bahawa kereta Malaysia ini dibina untuk Asia dan duni, mengguna pakai teknologi terkini,” jelasnya lagi.

Mengulas mengenai Pusat Sehenti Keusahawanan itu, Mohd Redzuan berkata, kementerian melalui SME Corp berhasrat mendekati usahawan kecil dan sederhana secara terus bagi mendapatkan pandangan serta membantu meningkatkan potensi perniagaan mereka.

Katanya, pusat itu akan berepranan sebagai pusat rujukan setempat serta sebagai pemudah cara kepada usahawan dan orang awam yang menyokong pembangunan usahawan di Malaysia ini.

Beliau berkata, Selain pusat di Hab PKS, ada empat lagi pusat fizikal yang akan dibuka di empat lokasi di Kedah, Kelantan, Sabah dan Sarawak.