Lawatan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama ke Malaysia dilihat sebagai usaha baik menstabilkan keseimbangan ekonomi serantau dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Penganalisis Politik Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Dr K.S. Nathan, berkata negara itu tidak mahu ketinggalan dalam usaha menjadikan TPPA sebahagian daripada sistem perdagangan bebas Asia Pasifik.

Jelasnya, TPPA memberi manfaat kepada Amerika Syarikat untuk berhadapan kuasa besar ekonomi dan menjadikan perkongsian ekonomi komprehensif negara serantau.

"Salah satu usaha TPPA adalah mewujudkan keseimbangan kuasa dalam bidang ekonomi di Asia Pasifik. Sememangnya usaha ini baik kerana kita sebagai ASEAN mahu semua kuasa luar melibatkan diri dan mereka di sini mewujudkan satu keseimbangan yang akan menguntungkan negara-negara Asean mahupun negara luar dan akhirnya menjimatkan keselamatan serantau Asia Tenggara dan Asia Pasifik", katanya ketika dihubungi Astro Awani di sini hari ini.

Dua belas negara terbabit dalam TPPA termasuk Australia, Brunei, Kanada, Amerika Syarikat, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.

Mengenai kehadiran Obama ke Sidang Kemuncak Asean 2015, Nathan berpendapat ia mampu meningkatkan usaha negara Asean dalam mencari jalan keluar berhubung isu perebutan wilayah di Laut China Selatan.

Ini kerana Laut China Selatan juga merupakan antara laluan perkapalan utama.

"Semua negara terlibat dari segi kepentingan yang mereka majukan bersama dengan ASEAN negara-negara maritim bukan China sahaja, Amerika Syarikat, Jepun, Korea, India dan Australia, semua ada kepentingan di kawasan ini".

"Jadi tujuan perbincangan sekarang dan juga sidang kemuncak ini adalah mencari jalan bagaimana kita boleh gunakan rang undang-undang untuk mententeramkan Laut China Selatan bagi kepentingan semua pihak terselamat", katanya.

Kemelut pertikaian wilayah di Laut Cina Selatan dijangka akan dibangkitkan dalam Sidang Kemuncak Asean kali ini yang berlangsung di ibu negara yang bermula Khamis sehingga Sabtu.