DALAM laporan tahunan Prospek Aktiviti Petronas (PAO) untuk 2019-2021 yang dikeluarkan , Petronas berkongsi pandangannya mengenai trend industri, prospek permintaan dan aktiviti dalam sektor huluan dan hiliran.

"Petronas, dalam PAO edisi ini, mengekalkan pandangan yang berhati-hati terhadap prospek industri dan akan bertindak balas dengan keyakinan berhati-hati, terutama pada projek modal baru," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa seperti dipetik Bernama.

Dalam laporan itu, Petronas berkongsi aspirasi dan bidang peluang utama bagi peserta industri untuk mengambil bahagian dalam aktiviti penyahtauliahan dan mengakui bahawa penyahtauliahan telah banyak dibincangkan di kalangan pemain industri sebagai segmen pasaran yang berkembang pesat.

"Pemain tempatan dalam segmen penyahtauliahan perlu menimbang semula model perniagaan yang lebih efektif dan cekap untuk menyokong keperluan yang akan datang," katanya.

Petronas berkata, komitmennya terhadap perjalanan transformasi digital untuk menjadi organisasi yang didorong oleh data, keperluan untuk merangkul teknologi dan digitalisasi dalam budaya dan pemikiran juga ditonjolkan dalam PAO.

"Ia berharap dengan perkongsian tersebut, industri boleh bertindak balas dan bekerjasama untuk merebut peluang dan memacu penyelesaian jangka panjang," tambahnya.