Ketidaktentuan nilai ringgit yang dihadapi negara ketika ini tidak akan menjejaskan minat pelabur asing untuk terus melabur di Malaysia, kata Menteri Perdagangan, Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Malah, katanya, walaupun berlaku penurunan nilai mata wang, ia tidak akan menjejaskan usaha menarik pelabur sebaliknya menjadikan Malaysia lebih menarik sebagai destinasi pelaburan.

Sebaliknya, apa yang berlaku hari ini ada kaitannya dengan pengukuhan ekonomi Amerika Syarikat (AS) dan beberapa faktor lain.

"Apa yang penting ialah kestabilan mata wang dan ringgit kita stabil. Apa yang berlaku hari ini ada kaitan dengan kekukuhan ekonomi AS. Dulu, ekonomi AS amat lemah dan apabila berlakunya pemulihan, ia juga adalah kesan langsung daripada ekonomi AS," katanya kepada pemberita selepas melawat Kawasan Perusahaan Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) di sini, hari ini.

Mustapa berkata, bagi tahun lepas sahaja, jumlah pertumbuhan pelaburan negara adalah melebihi RM70 bilion dan daripada jumlah itu, RM 30.7 bilion pelaburan terletak di bawah Pihak Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA).

Pada 2013, jumlah itu mencecah RM52 bilion. Bagaimanapun, bagi tahun ini, ia dijangka berkurangan sedikit dari segi jumlah pelaburan dalam industri pembuatan.

"Kita menjangkakan ada sedikit pengurangan dalam jumlah keseluruhan pelaburan sektor pembuatan.

"Sudah pasti ia disebabkan ekonomi global. AS dalam proses pemulihan (ekonomi), China turut alami kelembapan dan 2014 pula tahun berkecuali dan amat sukar untuk menandingi rekod ini...ia sesuatu yang perlu ekonomi kita hadapi. Ada masa turun, ada masanya naik dan amat sukar untuk mengekalkannya," katanya.

Mengenai keperluan insentif bagi menggalakkan pelaburan baru di KHTP, Mustapa berkata Kerajaan Pusat akan menumpukan aspek infrastruktur dan sumber manusia dalam bidang kemahiran dan teknikal bagi memenuhi permintaan syarikat-syarikat yang beroperasi di sini.

Mengulas lanjut, Anggota Parlimen Arau itu berkata kerajaan tidak menolak cadangan berkaitan perkara itu dan ia boleh dipertimbangkan.

Dalam pada itu, menjawab soalan berkenaan laporan portal berita dan blog baru-baru ini berhubung 50,000 penjawat awam kontrak akan diberhentikan, Shahidan berkata buat masa ini kerajaan tidak bercadang untuk menyerap secara automatik penjawat awam kontrak yang telah berkhidmat selama lima tahun ke dalam perkhidmatan awam.

"Bagaimana pun kerajaan tidak akan mengambil tindakan mendadak dalam tahun yang cukup mencabar ini dan akan memberi perlindugan kepada anggota kerajaan termasuk mereka yang kontrak atau tetap," katanya.