Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman menerima Anugerah Pengerusi pada Anugerah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 2014 di sini malam tadi.

Edisi ke-10 Anugerah KLIA turut menyaksikan MASkargo memenangi anugerah Syarikat Penerbangan Terbaik-Kargo manakala Malindo Air dan Turkish Airlines masing-masing berkongsi Anugerah Syarikat Penerbangan Terbaik-Penumpang.

AirAsia pula memenangi Anugerah Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik- Penumpang.

Ini adalah antara 15 anugerah yang diberikan sebagai perakuan Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) kepada rakannya yang melaksanakan perkhidmatan dan prestasi terbaik.

Tan Sri Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, Pengerusi MAHB dalam ucapannya berkata objektif Anugerah KLIA bermatlamat memberi ganjaran kepada semua rakan perniagaan KLIA yang bekerja keras dalam bidang masing-masing, membolehkan KLIA meningkatkan lagi kecemerlangan perkhidmatannya.

Mengenai pentingnya klia2 dalam meningkatkan status KLIA, beliau berkata pembinaan klia2 telah mempengaruhi kedudukan negara sebagai hab penerbangan yang kukuh.

"Kapasiti lapangan terbang akan menyokong pertumbuhan rakan penerbangan kami," kata Wan Abdul Aziz.

Beliau berkata angka awal trafik penumpang di KLIA dan klia2 sehingga Ogos tahun ini berjumlah 32.4 juta, kekal kukuh dengan 0.5 peratus peningkatan berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

“Angka trafik kita masih kekal meskipun ekonomi semasa suram," katanya.

Beliau berkata MAHB mendapati angka trafik antarabangsa meningkat 7.0 peratus dan trafik domestik meningkat 10.4 peratus di klia2 sehingga Ogos lepas.

"Ini menunjukkan potensi peningkatan permintaan untuk syarikat penerbangan tambang rendah yang berkembang setiap tahun," katanya.