PT Bank Maybank Indonesia mencatat keuntungan bersih selepas cukai dan faedah minoriti sebanyak Rp490.1 bilion (Rp10,000= RM 3.1) iaitu meningkat sebanyak 10.4 peratus bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2017 berbanding tempoh sama tahun lepas biarpun berdepan cabaran kelemahan ekonomi global.

Dalam satu kenyataan kepada Bernama hari ini, Maybank Indonesia berkata pendapatan faedah bersih (NII) turut meningkat sebanyak 8.1 peratus kepada Rp1.7 trilion dalam suku pertama 2017 berbanding Rp1.5 trilion bagi tempoh sama pada 2016.

Kenaikan NII itu disebabkan usaha bank itu melaksanakan langkah harga pembiayaan dan pengurusan dana secara aktif.

Malah, margin faedah bersih (NIM) turut menokok kepada 4.7 peratus pada Mac 2017 berbanding 4.3 peratus pada Mac tahun lepas.

Presiden Pengarah Maybank Indonesia Taswin Zakaria bagaimanapun berkata, faktor makroekonomi dan kelemahan perbelanjaan pengguna yang berterusan akan terus memberi cabaran baharu bagi 2017.

"Walaupun berdepan suku yang lebih perlahan, kami dapat memulakan tahun ini dengan pencapaian yang menggalakkan. Malah, biarpun terus menyaksikan pertumbuhan dalam perniagaan perbankan global dalam suku-suku akan datang, kami juga akan terus memberi tumpuan terhadap usaha pengukuhan francais perbankan runcit bagi meningkatkan bahagian pasaran dan segmen perniagaan lain," katanya dalam kenyataan itu.

Mengulas lanjut, Taswin berkata pertumbuhan keuntungan itu adalah hasil daripada pelbagai usaha gigih untuk meningkatkan keupayaan Maybank Indonesia serta mengembangkan portfolio pinjaman.

"Kami akan terus memberi tumpuan terhadap kualiti aset dan pada masa sama, meninjau segmen pertumbuhan dalam suku-suku akan datang khususnya menyokong pelbagai projek pembangunan ekonomi kerajaan," katanya.

Taswin berkata kos biaya umum bank itu kekal stabil pada Rp1.2 trilion bagi suku pertama 2017, hasil daripada pelaksanaan kos pengurusan strategik yang mampan di peringkat operasi dan perniagaan.

Segmen perbankan Syariah juga terus memaparkan prestasi kukuh bagi tempoh tiga bulan pertama 2017 yang menyaksikan keuntungan bersihnya naik 50.3 peratus kepada Rp187.5 bilion pada Mac 2017 daripada Rp124.8 bilion pada tempoh sama, tahun lepas.

Maybank Indonesia merupakan antara bank terbesar di negara ini menerusi operasi 425 buah cawangan dan ini termasuk Syariah, pejabat mikro serta cawangan di luar negara.

-- BERNAMA