Keuntungan sebelum cukai Bursa Malaysia Bhd bagi suku ketiga yang berakhir 30 Sept, 2016, turun kepada RM61.6 juta daripada RM71.89 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Hasil susut kepada RM119.4 juta daripada RM128.83 juta sebelumnya, kata syarikat itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, hari ini.

Bursa itu berkata prestasi pasaran sekuriti terus dipengaruhi perkembangan ekonomi dan pasaran global dan tempatan.

"Aktiviti pasaran derivatif, sebaliknya, akan dipengaruhi oleh turun naik harga komoditi dan FBM KLCI.

"Di pasaran modal Islam, urus niaga Bursa Suq Al-Sila dijangka kekal mampan dengan permintaan berterusan terhadap kontrak Murabaha bagi membantu pengurusan mudah tunai," kata bursa tersebut.

Melangkah kehadapan, Bursa Malaysia berkata, ia kekal yakin dalam berhati-hati dengan prestasinya bagi tahun ini dan akan meneruskan inisiatifnya bagi menjadikan pasaran ekuiti dan derivatif Malaysia lebih menarik dan cergas. -- BERNAMA