Keuntungan sebelum cukai Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) bagi suku kedua yang berakhir 30 Jun, 2016, melonjak 294.7 peratus kepada RM73.8 juta.

Peningkatan berkenaan disebabkan oleh keuntungan sebanyak RM41.6 juta daripada penjualan projek hartanah Sooka Sentral di KL Central Commercial Business District.

Perolehan bagaimanapun, susut kepada RM389.19 juta daripada RM530.28 juta yang dicatatkan sebelumnya, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

MRCB terus mengurangkan tahap kadar hutang bersih, yang turun daripada 1.27 kali, setakat akhir 2015, kepada 1.09 kali pada 30 Jun, 2016.

Setelah selesainya bahagian kedua proses tawaran persendirian, kadar hutang bersih MRCB menyusut lagi kepada 0.92 kali.

Ini menunjukkan penurunan ketara sejak strategi transformasi korporatnya mula dilancarkan pada akhir 2013, apabila kadar hutang bersihnya pada 1.74 kali, kata syarikat itu.

Kadar hutang bersih dijangka terus berkurangan apabila selesainya penjualan Menara Shell kepada MRCB-Quill REIT pada RM640 juta.

Mengenai prospek masa depan, katanya syarikat terus memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan tahap kadar hutang bersihnya dan mengembangkan aktiviti terasnya dalam pembangunan hartanah dan pelaburan serta pembinaan, kejuruteraan dan alam sekitar.

Projek pembangunan hartanah kumpulan ketika ini mempunyai nilai pembangunan kasar RM50 bilion dan nilai perolehan kontrak pembinaan luaran sebanyak RM6.6 bilion.