Keyakinan pelancong dari China untuk mwlawat negara ini semakin pulih selepas dua tahun insiden kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370.

Setiausaha Agung Persatuan Pelancong Dalam Negeri Malaysia (MITA), Mint Leong berkata ini dapat dibuktikan berdasarkan peningkatan kemasukan mereka menggunakan Laluan Kedua Malaysia-Singapura.

"Tahun ini, jumlah pelancong dari China yang datang ke negara ini semakin bertambah dianggar mencecah 80 hingga 200 buah bas sehari melalui Laluan Kedua terutama semasa cuti umum," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Kompleks Kastam, Imigresen, dan Kuarantin (CIQ) Sultan Abu Bakar, di sini hari ini dengan diiringi Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor, Datuk Tee Siew Kiong.

Semalam, kesesakan luar biasa selama empat jam berlaku di Laluan Kedua disebabkan pelbagai kenderaan keluar masuk termasuk 180 bas yang membawa 7,200 pelancong dari China.

Leong berkata selepas insiden MH370, bilangan pelancong dari China berkurang sebanyak 70 peratus iaitu hanya 10 bas sahaja melalui Laluan Kedua sehari.

Namun, pihaknya menjangka lebih 8,000 pelancong dari China akan memasuki negara ini sehingga Mei melalui Singapura didorong oleh usaha kerajaan Malaysia memperkenalkan pelbagai inisiatif termasuk visa elektronik (e-visa).

Sementara itu, Tee berkata keyakinan pelancong dari China juga dilihat pulih disebabkan pembangunan pesat di kawasan Iskandar Malaysia.

"Pada 2014, seramai 18.98 juta pelancong China direkodkan masuk ke negara ini menggunakan Laluan Kedua dan jumlah itu meningkat kepada 19.61 juta pada 2015.

Bagi tempoh sama, jumlah pelancong direkodkan keluar pula ialah sebanyak 9.5 juta orang dan meningkat kepada 9.54 juta," kata beliau.

Beliau berkata bagi mengatasi kesesakan, pihaknya mencadangkan agensi pelancongan yang membawa pelancong menggunakan bas supaya memaklumkan kepada pihak berkuasa CIQ lebih awal.