Khazanah Nasional Bhd telah diiktiraf dalam Senarai Pemimpin Bretton Woods II sebagai satu daripada 25 Peruntuk Aset Paling Bertanggungjawab di seluruh dunia dan bukti terhadap kemajuan ekonomi Malaysia yang mantap.

Pengarah Urusan Khazanah, Tan Sri Azman Mokhtar berkata, pengiktirafan antarabangsa terhadap usaha Khazanah dan institusi-institusi Malaysia yang lain untuk memacu Malaysia ke hadapan adalah cerminan kemajuan berterusan negara dalam pelbagai bidang.

"Kami berterima kasih kerana sebagai dana pelaburan strategik negara, anugerah dan pengiktirafan antarabangsa ini diperoleh disebabkan rekod prestasi kewangan kami untuk 2017 dan penyerahan nilai jangka panjang kepada rakyat," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Azman berkata, prestasi itu dihasilkan daripada kestabilan dan asas ekonomi negara serta model pengawasan dan tadbir urus yang dikendalikannya.

Pada 2017, portfolio Nilai Bersih Diselaras (NWA) Khazanah meningkat 13.2 peratus kepada rekod RM115.6 bilion pada 31 Disember 2017, manakala keuntungan sebelum cukai meningkat 84.7 peratus kepada RM2.89 bilion.

Prestasi kewangan tersebut dicapai berdasarkan pendekatan mampan dan berhemat dalam penciptaan nilai jangka panjang, dengan Portfolio NWA berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul sebanyak 9.6 peratus setahun sejak 14 Mei 2004 dan perlindungan aset portfolio sebanyak 3.1 x nilai aset boleh realisasi sebanyak RM157.2 bilion pada 31 Disember 2017.

Menurut Azman, Khazanah memberi tumpuan kepada penciptaan nilai jangka panjang di seluruh spektrum kegiatannya.

Senarai Pemimpin Bretton Woods II merupakan kedudukan dana kekayaan negara dan dana pencen kerajaan yang paling bertanggungjawab di seluruh dunia, berdasarkan analisis komprehensif lebih 120 dana yang bernilai AS 20 trilion dalam aset.

Malaysia menduduki tempat ke-23 dalam Indeks Daya Saing Dunia oleh Forum Ekonomi Dunia terbaru daripada 137 ekonomi dan menduduki tempat keempat dalam Melindungi Pelabur daripada 178 ekonomi dalam laporan tahunan Menjalankan Perniagaan 2018 oleh Bank Dunia.

-- BERNAMA