Khazanah Nasional Bhd, cabang pelaburan kerajaan, perlu diberi peluang untuk membawa Malaysia Airlines (MAS) yang kini menghadapi masalah kewangan, kembali mencatat untung.

Timbalan Setiausaha Agung Persekutuan Persatuan Cina Malaysia (Hua Zong), Prof Dr Chin Yew Sin berpendapat, seseorang itu perlu realistik yang Khazanah sudah mempunyai pelan untuk memulihkan syarikat penerbangan negara itu.

"Ia tidak perlu digagalkan hanya disebabkan sebuah syarikat swasta telah membuat bidaan," katanya mengulas laporan sebuah syarikat baru ditubuh, Jentayu Danaraksa (JD), telah mencadangkan pelan alternatif bagi menyelamatkan MAS.

"Saya berpendapat kerajaan perlu kekal dengan pelannya dan jika anda membenarkan orang lain mengambil alih, Khazanah tidak mempunyai kebebasan dalam menstruktur semula MAS," kata Chin yang pertubuhannya mewakili semua persatuan utama Cina di seluruh negara.

"Selain itu, cadangan syarikat lain tidak begitu komprehensif. Ia menyatakan ia mahu menyelamatkan 6,000 pekerjaan, walaupun sebenarnya ia mustahil kerana semua orang tahu MAS mempunyai terlalu ramai, kira-kira 20,000 pekerja," kata tokoh perniagaan itu.

JD dilapor ditubuhkan pada Ogos lalu oleh bekas eksekutif industri penerbangan dan rakan kongsi perniagaan mereka.

Sebagai syarikat kebanggaan negara, kata Chin "kerajaan perlu memastikan MAS boleh dipulihkan dan meletakkannya kembali pada kedudukan yang baik."

Mengulas cadangan JD, beliau berkata, ia adalah mudah jika syarikat itu mengambil alih operasi yang membawa untung kepada syarikat penerbangan negara itu.

Memetik analogi daripada lebuh raya bertol, Chin berkata, keuntungan mudah diraih 'jika saya boleh mengambil alih aset tol yang membawa untung dan mengetepikan mana-mana aset yang tidak."

Menurutnya, sebahagian daripada cabaran utama yang menjejaskan daya maju MAS sudah pun didedahkan dan ia termasuk mempunyai terlalu ramai pekerja, pembekal berharga tinggi dan penerbangan ke laluan tidak menguntungkan.

"Oleh itu apa yang diperlukan sekarang ialah menangani masalah terbabit dan melakukannya tanpa campur tangan politik," tambahnya.

Chin yakin MAS boleh dipulihkan jika dibiarkan kepada profesional untuk melakukannya sebagaimana yang dilakukan syarikat penerbangan lain sebelum ini.

"Oleh itu, saya berpendapat kerajaan tidak perlu menerima sebarang tawaran daripada sektor swasta ketika ini," katanya dengan menambah syarikat yang membuat cadangan pemulihan itu mungkin tidak mempunyai gambaran menyeluruh dan hanya mahu mengambil alih aset tertentu MAS.

"Ini tidak baik kerana kerajaan memerlukan penyelesaian holistik bagi menyelesaikan masalah MAS untuk selama-lamanya," katanya.

Chin berkata, syarikat swasta mungkin juga sukar mendapat pembiayaan yang diperlukan MAS.

"Ia akan bergantung kepada bank dan mereka sangat berhati-hati dengan pinjaman mereka sekarang kerana penggearan MAS secara relatifnya adalah tinggi pada 290 peratus.

"Tetapi dengan pembiayaan Khazanah, penggearannya akan jatuh kepada 130 peratus. Oleh itu syarikat swasta yang cuba memudahkan pemulihan MAS perlu mempunyai dana lebih besar daripada RM6 bilion yang dicadangkan Khazanah dalam pelan 12 perkaranya," katanya.

Mengulas sokongan daripada JD kepada Kesatuan Pekerja Sistem Penerbangan Malaysia, kesatuan terbesar dalam MAS, Chin berkata: "Saya berpendapat terdapat beberapa sebab mengapa MAS kini mengalami kerugian. Antaranya ialah ia mempunyai terlalu ramai kakitangan. Di samping itu fakta yang diketahui umum ialah bekalan MAS adalah terlalu mahal."