Syarikat cabang pelaburan negara, Khazanah Nasional dan syarikat petroleum nasional, Petronas, berkemungkinan besar bakal dikecualikan daripada peraturan-peraturan Rundingan Perjanjian Trans-Pasifik (TPPA).

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamad berkata langkah itu bakal dilaksana ketika Malaysia sedia membenarkan beberapa pengecualian terhadap rundingan berkenaan.

Bagaimanapun sehingga kini masih belum jelas bentuk dan kaedah pengecualian melibatkan Khazanah dan Petronas.

Butiran lanjut hanya akan diketahui selepas rundingan dijalankan dengan ahli lembaga syarikat berkenaan dalam masa terdekat.

TPPA juga bakal dibahaskan di Dewan Rakyat yang akan menyambung semula sidang pada 19 Oktober depan.

Malaysia sebelum ini menyatakan kebimbangan TPPA akan menjejaskan haknya untuk menguruskan syarikat-syarikat milik kerajaan dan polisi-polisi layanan istimewa untuk orang Melayu dan penduduk asal yang lain dikenali sebagai bumiputera.

Mustapa sebelum ini memaklumkan Malaysia memutuskan untuk meneliti semula permohonan awalnya mengecualikan Khazanah dan Petronas secara mutlak dari perjanjian berkenaan dan telah memperoleh persetujuan untuk berkompromi.

"Apa sahaja yang dibincangkan perlu sejajar dengan model sosio-ekonomi kita, termasuk peranan syarikat-syarikat milik kerajaan," jelas Mustapa.

Di bawah TPPA, Khazanah dan Petronas berdepan kemungkinan pematuhan kepada beberapa peraturan, biarpun butirannya belum diperincikan.

Petronas mempunyai hak terhadap rizab simpanan di bawah perlembagaan persekutuan.

Syarikat itu menyumbang dividen berjumlah RM29 bilion kepada perolehan kerajaan pada 2014.