Khazanah Nasional Berhad merekodkan kerugian susulan aktiviti pembersihan portfolio pasca lantikan pentadbiran baharu.

Menurut Penganalisis Ekonomi, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, Khazanah dilihat menggunakan kaedah ‘Kitchen Sink’ iaitu penstrukturan organisasi bagi menilai semula serta mengurangkan aset kurang membawa untung.

Kitchen sink adalah satu strategi pengurusan yang mana sesebuah organisasi itu mengambil keputusan untuk mengumumkan kerugian dari segi kemerosotan nilai, penjualan aset ataupun pemberhentian pekerja yang melibatkan kos tinggi.

“Pada 2018, Khazanah melakukan pertukaran pengurusan tertinggi organisasi dan ini adalah peluang untuk Khazanah membersihkan, memastikan aset-aset yang tidak lagi memberi keuntungan dihapuskan, dan memulakan semula sesuatu yang mampu menjana pendapatan yang lebih bermakna,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Melalui langkah itu, Dr Ahmed berkata keuntungan akan dapat dimaksimumkan untuk tahun-tahun mendatang.

“Kebiasaannya, kitchen sink dilakukan apabila ada perubahan pada pengurusan tertinggi organisasi tersebut,” ujar beliau.

Dr Ahmed pada masa sama berkata kerugian yang dicatatkan Khazanah pada 2018 turut disumbang penurunan nilai aset serta bayaran dividen hasil pelaburan tahun berkenaan.

Ia termasuk syarikat bermasalah di bawah Khazanah iaitu Malaysia Airlines.

“Jadi pada pendapat saya Khazanah memang akan mencatatkan keuntungan seperti biasa pada 2019 nanti,” katanya.

BACA: Khazanah Nasional Berhad rugi RM6.3 bilion

Khazanah pada Selasa mengumumkan kerugian sebelum cukai RM6.3 bilion akibat rosot nilai yang tinggi pada tahun 2018.

Rosot nilai Khazanah mencecah RM7.5 bilion, kenaikan RM5 bilion berbanding tahun 2017.