Khazanah Nasional Berhad berkata syarikat itu tidak mempunyai kawalan terhadap penggunaan dana yang ditebus oleh Kementerian Kewangan.

Dana yang dimaksudkan adalah wang hasil penebusan saham boleh tebus RCCPS oleh Kementerian Kewangan.

Kenyataan Khazanah itu sebagai menjawab laporan Reuters awal 24 Mei, mendakwa Khazanah telah membayar hutang 1MDB.

Syarikat pelaburan negara itu didakwa membayar Kementerian Kewangan sejumlah RM1.2 bilion pada pertengahan 2017.

Wang itu kemudian didakwa digunakan untuk membayar hutang 1MDB.

Reuters mendakwa, Khazanah membayar wang itu sebagai pertukaran saham boleh tebus yang dimiliki oleh Kementerian Kewangan.

Dalam satu kenyataan, Khazanah berkata, sebaik dana itu ditebus oleh Kementerian Kewangan selaku pemegang tunggal RCCPS, Khazanah tidak mempunyai kawalan untuk mengetahui ke mana wang tersebut digunakan.

RCCPS itu diterbitkan pada 7 Mac 2011 sebagai modal disuntik yang mana Kerajaan Malaysia, melalui Kementerian Kewangan mempunyai hak untuk tebus pada bila-bila masa.

“Pada 14 Mac 2014, Kementerian Kewangan Menebus RM1.8 bilion dari jumlah RM3 bilion yang diterbit.

“Pada 11 Ogos 2017, Kementerian Kewangan menebus RM1.199 bilion dari baki RM1.2 RCCPS," kata kenyataan itu.

“Penebusan RCCPS itu juga merupakan sebahagian pembayaran modal pemegang saham Khazanah terhadap Kementerian Kewangan," kata syarikat itu.