Kompleks Perniagaan Bersepadu (ICC) bernilai RM57 juta yang berkeluasan 1.012 hektar berhampiran Plaza Pudu, bakal menjadi penanda aras untuk semua pembangunan pasar awam pada masa depan.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata pembinaan ICC itu melibatkan pemindahan 257 penjaja di Pasar Bukit Bintang untuk beroperasi di kompleks berkenaan.

"Ia bertujuan meningkatkan peluang perniagaan peniaga kecil di Kuala Lumpur, melibatkan Fasa 1 dan 2 yang dijangka siap sepenuhnya pada Jun 2016," katanya ketika merasmikan majlis pecah tanah projek Pembangunan Kompleks Perniagaan Bersepadu (ICC) di sini hari ini.

Beliau berkata, projek ini juga akan menyediakan sebuah pasar makanan segar 'alaf baru' yang dilengkapi kemudahan lengkap, bersih dan selesa di samping memupuk perkongsian aktiviti kemasyarakatan.

Katanya, projek ini akan dibiayai bersama-sama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).