KETEGANGAN perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China bukan sahaja memberi impak kepada perdagangan dan pertumbuhan global, tetapi turut menjejaskan rantaian bekalan yang memberi kesan kepada perniagaan, pekerjaan dan pengguna.

Kesan negatif daripada perang perdagangan ini dijangka meningkatkan kos perniagaan dan ketidakstabilan pasaran kewangan serta menjejaskan keyakinan pelabur.

Menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2019 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini, sebarang perkembangan yang berlaku kepada rakan dagangan negara utama akan memberi kesan langsung dan tidak langsung ke atas pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Ini kerana China kekal sebagai rakan dagangan terbesar Malaysia bagi sembilan tahun berturut-turut serta menyumbang 13.5 peratus atau RM126 bilion kepada jumlah eksport pada 2017.

AS pula merupakan destinasi eksport ketiga terbesar yang menyumbang 9.5 peratus atau RM88.7 bilion kepada jumlah eksport negara.

Katanya impak langsung pengenaan tarif ke atas eksport Malaysia ke AS bagi panel solar, mesin basuh, keluli dan aluminium adalah minimum.

Eksport produk tersebut ke AS hanya mewakili 0.8 peratus daripada jumlah eksport atau RM7.3 bilion pada 2017.

Bagaimanapun, impak secara tidak langsung ke atas eksport Malaysia berikutan pengenaan tarif lebih tinggi ke atas US$250 bilion produk China, mencakupi 12 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport Malaysia berjumlah RM108 bilion.

Produk lain termasuk minyak mentah dan gas, bijih logam dan barangan perlombongan lain serta produk kimia, plastik dan getah.

Menurut laporan itu, hampir 50 peratus daripada eksport Malaysia merupakan input kepada produk akhir China yang dieksport ke AS.

Berdasarkan andaian ini, eksport Malaysia dijangka berkurangan sebanyak 0.08 peratus manakala KDNK berkurangan sebanyak 0.02 peratus dalam tempoh 2018-2020.

Sekiranya perang perdagangan semakin meruncing dan menjejaskan pengeluaran global sebanyak 0.4 mata peratusan menjelang 2020, ekonomi Malaysia dijangka merosot sehingga 0.7 peratus.

Jangkaan ini berdasarkan analisis ekonometrik yang menunjukkan penurunan 10 peratus dalam pertumbuhan global akan mengurangkan KDNK Malaysia sebanyak 14 peratus, menurut laporan berkenaan.

Bagaimanapun, faedah perdagangan yang besar akan diperoleh apabila AS dan China mengalihkan permintaan barangan import kepada negara yang berkembang pesat serta penempatan semula syarikat multinasional bagi mengelak pengenaan tarif ini.

Malaysia juga telah membangunkan rangkaian dagangan yang kukuh dan kepelbagaian sektor yang membolehkan syarikat tempatan menangani halangan serta mencari peluang baharu dan pasaran alternatif.

Negara juga terus komited untuk terlibat dan mengambil inisiatif perdagangan termasuk melalui perjanjian dua hala dan pelbagai hala yang akan memberi manfaat kepada syarikat dan usahawan Malaysia.

Antara perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang akan disertai termasuk Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), Asean - Hong Kong FTA, Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), Perjanjian Perkongsian Persatuan Perdagangan Bebas Malaysia - Eropah (MEEPA) dan Perjanjian Perdagangan Keutamaan Malaysia - Iran (MIPTA).

-- BERNAMA