Pemberian kontrak bagi Projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) Malaysia-Singapura dijangka diumumkan pada 2017.

Ketua Pegawai Pembangunan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Dr Prodyut Dutt berkata, anggaran kos perbelanjaan penuh projek mega itu juga tidak dapat dilakukan ketika ini.

"Ini kerana proses tender masih belum dijalankan.

"Selagi ianya belum selesai, kos penuh belum dapat ditentukan," kata Dr Dutt.

Tambah beliau, banyak lagi prosedur yang harus diselesaikan dalam proses penyiapan dokumen tender.

"Selain itu, kita harus juga merujuk dengan Kerajaan Singapura berhubung perkara ini.

"Oleh itu, jangka masanya akan diputuskan secara bersama," jawab Dr Dutt ketika ditemui di upacara perasmian Rail Business Asia 2015 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pagi tadi.

Beliau berkata demikian ketika ditanya para wartawan mengenai perkembangan HSR yang dijadualkan akan disiapkan pada 2022.