Saham-saham Bina Puri Holdings Bhd dan Cahya Mata Sarawak Bhd meningkat pagi ini susulan pemerolehan kontrak baharu bernilai RM1.36 bilion daripada Lebuhraya Borneo Utara Sdn Bhd.

Pada 10.12 pagi, saham Bina Puri meningkat dua sen kepada 43 sen dengan 4.47 juta saham diurusniagakan, manakala Cahya Mata Sarawak menokok dua sen kepada RM3.80 dengan 1.12 juta saham bertukar tangan.

Kontrak itu diperoleh menerusi sayrikat usaha sama PPES Works (Sarawak) Sdn Bhd dan Bina Puri Sdn Bhd (PPESW-BPSB JV).

Bina Puri SB ialah anak syarikat milik penuh Bina Puri Holdings, manakala PPES Works ialah anak syarikat tidak langsung Cahya Mata Sarawak menerusi penguasaan 51 peratus kepentingan.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, Bina Puri berkata kontrak itu melibatkan cadangan pembangunan dan menaik taraf fasa satu Lebuh Raya Pan Borneo, meliputi Jambatan Sungai Awik ke Bintangor Junction di Sarawak.

"Kontrak itu untuk tempoh pelaksanaan 47 bulan mulai tarikh surat kelulusan," kata Bina Puri.