Koperasi sekolah diseru agar terlibat dalam aktiviti penjualan barangan runcit bagi membantu meningkatkan pendapatan yang terjejas akibat COVID-19.

Menurut Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah, ini kerana komuniti sekolah yang pelbagai dapat menyediakan pasaran yang luas.

“Komuniti sekolah yang pelbagai termasuk pelajar sekolah, guru, pekerja dan ibu bapa merupakan pelanggan sedia ada dan koperasi seharusnya mengambil peluang membekal dan menjual barang keperluan harian seperti beras, minyak masak, tepung, gula dan lain-lain dalam usaha meningkatkan keuntungan jualan harian koperasi.

“Koperasi sekolah yang terlibat dengan perniagaan runcit juga disaran berdaftar dalam program Barang Asas 100 (BA100) yang akan dapat menawarkan harga jualan lebih murah kepada pelanggan," katanya semasa Taklimat Perniagaan Barang Asas 100 di Subang Jaya pada Selasa.

Dalam pada itu, Abdul Fattah turut memaklumkan kredit pusingan bernilai RM10,000 juga akan ditawarkan kepada koperasi yang berdaftar di bawah program BA100 selama sebulan.

“Ia juga boleh diperbaharui berdasarkan rekod bayaran semula oleh koperasi. Malah Angkasa turut bercadang menambah nilai tawaran kredit pada masa akan datang jika program ini berjaya membantu koperasi sekolah meningkatkan jualan bulanan,” katanya lagi.

Untuk rekod, BA100 merupakan program bersepadu diperkenalkan oleh Angkasa dalam usaha berterusannya untuk menggerakkan perniagaan koperasi terutama membantu dan menawarkan penjualan barangan asas dengan harga berpatutan.

Sehingga kini 768 buah koperasi sekolah telah berdaftar bersama program BA100.

Angkasa pada masa sama menyasarkan sehingga 1,500 buah koperasi sekolah mendaftar program BA100 pada tahun 2021 bagi memanfaatkan tawaran menerusi program tersebut.