Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa koperasi dan syarikat berkaitan kerajaan menubuhkan jawatankuasa pengurusan risiko bagi memastikan tadbir urus korporat yang berkesan.

Jelasnya, jawatankuasa itu antara lain akan membuat penyelidikan dalam penerokaan bidang baru, usahasama pelaburan dan analisis persekitaran ke atas petunjuk ekonomi.

"Saya rasa jawatankuasa ini perlu ada. Setiap pelaburan mesti melalui jawatankuasa pengurusan risiko dan sebagainya," katanya dalam sidang media selepas Majlis Penganugerahan Syarikat dan Koperasi Terbaik Tahun 2015 di Ibu Pejabat Risda di sini hari ini.

Setakat ini katanya, terdapat sebahagian syarikat yang menubuhkan jawatankuasa berkenaan.

Bagaimanapun, tiada koperasi yang melakukan pendekatan sama buat masa ini.

"Sesebuah syarikat tidak boleh melabur begitu sahaja, ia perlu ada jawatankuasa pengurusan risiko ini perlu untuk melihat risiko perniagaan," ujarnya.

Sementara itu, dalam ucapannya, Ismail berharap teguran yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) diberi perhatian serius supaya ia tidak diulangi dan tidak berlaku kesilapan sama dalam organisasi kementeriannya.

"Berdasarkan penilaian itu, hanya 18 syarikat atau 24 peratus yang mematuhi sepenuhnya KPI tadbir urus korporat. Perkara ini perlu diberikan perhatian serius untuk meningkatkan keyakinan orang awam ke atas pengurusan syarikat," tambahnya.

Menjelas lanjut, beliau berkata, sepanjang tahun 2015, 75 buah syarikat telah dinilai berbanding 71 buah syarikat pada 2014.

"Daripada penilaian tersebut didapati bahawa 60 syarikat atau 80 peratus yang mencatat keuntungan berbanding 66 syarikat atau 93 peratus pada 2014," jelasnya lagi.

Bagaimanapun katanya, jumlah perolehan semua syarikat yang dinilai meningkat 9.09 peratus iaitu daripada RM3.394 bilion pada 2014 menjadi RM3.703 bilion pada 2015.