Industri halal global kini dianggarkan bernilai lebih AS$3 trilion menarik minat pelbagai negara mengambil peluang memperluas pasaran mereka.

Menurut Pengarah Urusan Korea Halal Co Kim Jin Woo, Korea Selatan antara negara yang tidak terkecuali dalam usaha ini.

Kim berkata kerajaan Korea Selatan berniat untuk membangunkan produk-produk halal menggunakan teknologi negara tersebut yang dianggap antara terbaik dan termaju di dunia.

Menurutnya, Korea Selatan baru-baru ini mengumumkan pelan pembinaan lima kilang halal pelbagai industri termasuk kosmetik, pelancongan dan makanan.

Korea Selatan juga, jelas Kim, sedang giat mencari rakan kongsi halal dari negara-negara Islam termasuk Malaysia untuk pelbagai bentuk kerjasama dalam membangunkan industri ini.

"Korea tidak mempunya saintis halalnya sendiri dan kami tidak mempunyai pengalaman, maka kami melihat kepada Malaysia sebagai konsultan yang boleh memberi nasihat kerana mereka mempunyai lebih banyak pengalaman dan dikenali dunia sebagai hab halal.

"Contohnya dalam perusahaan laboratori halal, Malaysia mempunyai empat hingga lima laboratori halal seperti di Universiti Putra Malaysia (UPM), Melaka dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Kami ingin menjemput pakar dan profesional dalam bidang halal untuk memberi tunjuk ajar kepada Korea dalam operasi halal.

"Pada saya ini adalah sebuah peluang yang bagus untuk Malaysia mengembangkan bakat-bakat yang sedia ada dalam bidang ini selain mengembangkan perniagaan mereka," katanya.

Jelas Kim, Malaysia dikenali sebagai pintu gerbang industri halal dunia dan mempunyai kelebihan dari segi hubungan diplomatik dan perdagangan yang sangat baik dengan negara-negara Asia Barat.

"Korea mempunyai pertubuhan pensijilan halalnya sendiri dibawah Korea Muslim Association. Lebih 200 syarikat telah mendaftar dengan kami tetapi kekurangan dan cabaran yang dihadapi oleh kami adalah dalam bidang pemasaran.

"Malaysia adalah sebuah negara Islam yang mempunyai peranan besar dalam Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan dikenali sebagai negara pintu gerbang industri halal. Walaupun Korea sudah mempunyai beberapa bentuk kerjasama dengan Malaysia dalam bentuk perniagaan atau business to business (B2B), kami mahu mengembangkannya lebih jauh dan membina industri bersama," katanya.

Korea Selatan juga kini sedang giat membawa perubahan dalam industri pelancongan mereka untuk membawa pelancong beragama Islam.

Negara itu menerima lebih daripada 6 juta pelancong dari China, 3 hingga 4 juta dari Jepun setiap tahun. Korea kini sedang melihat ke arah negara rantau Asia Tenggara dengan populasi lebih 1 bilion, di mana lebih 54 peratus penduduknya adalah beragama Islam dan ini memberi peluang yang cukup lumayan buat Korea.

"Maka pelancongan yang mesra dengan kepercayaan Islam adalah amat penting kepada kami. Kerajaan Korea ingin belajar mengenai pelancongan untuk orang Islam dan sedang giat melakukan penyelidikan mengenai perkara ini.

"Jadi kami melihat kepada Malaysia untuk memberi tunjuk ajar dan nasihat bagaimana kami boleh mengembang industri pelancongan halal Korea ini dengan lebih lagi," katanya.