Malaysia dan Korea Selatan disifatkan sebagai rakan niaga yang akrab dengan mencatatkan nilai dagangan berjumlah AS$10.8 bilion bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.

Duta Besar Malaysia ke Korea Selatan Datuk Rohana Ramli berkata dasar Pandang Ke Timur oleh Malaysia memberi kesan positif terhadap hubungan dan kerjasama dua hala antara kedua-dua negara.

"Saya berpendapat kita perlu lebih agresif mengadakan misi dagang dan pelaburan di Korea Selatan untuk meningkatkan keyakinan masyarakat usahawan negara itu khususnya dalam menjalin kerjasama ekonomi.

"Jumlah itu (AS$10.8 bilion) menjadikan Malaysia rakan niaga ke-12 terbesar Korea Selatan selain negara pelabur ke-10 terbesar dalam sektor pembuatan di Malaysia," katanya.

Rohana ditemui di sini semasa menyambut keberangkatan tiba Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang membuat lawatan kerja ke Korea Selatan baru-baru ini.

Beliau berkata Malaysia juga negara ke-15 terbesar destinasi sumber import bernilai AS$5.6 bilion manakala eksport Korea Selatan ke Malaysia pula bernilai AS$5.2 bilion (Januari hingga Ogos 2015).

"Nilai perdagangan tahun lepas (2014) berjumlah AS$18.68 bilion. Saya yakin nilai ini dijangka meningkat lagi berdasarkan petunjuk positif terhadap ekonomi negara," tambah beliau.

Katanya eksport utama Malaysia ke Korea Selatan antaranya gas asli cecair (LNG), petroleum, minyak mentah, produk elektronik dan elektrik manakala import utama seperti jentera, produk petroleum serta elektronik dan elektrik.

Menurut Rohana lagi, dalam enam bulan pertama tahun ini, sebanyak 11 projek pelaburan Korea Selatan berjumlah AS$60.9 juta diluluskan oleh kerajaan Malaysia.

Mengenai pelancongan, beliau berkata kedatangan rakyat Korea Selatan ke Malaysia dari Januari hingga April 2015 seramai 149,951 orang, meningkat 12.1 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas seramai 133,753 orang.

"Rakyat Malaysia ke Korea Selatan (Januari - Ogos 2015) seramai 121,780, susut 8.6 peratus bagi tempoh yang sama tahun lepas (132,319).

Rohana berkata sehingga November lepas seramai 606 pelajar Malaysia yang menuntut di Korea Selatan mendaftar dengan pejabat kedutaan.