RAMAI mungkin tidak menjangkakan krisis wabak COVID-19 telah membawa “bencana” yang lebih besar kepada ekonomi Malaysia berbanding dengan krisis-krisis lain seperti perang dagangan China-Amerika Syarikat.

COVID-19 menjejaskan “kesihatan” ekonomi negara melalui tiga saluran utama.

Pertama, sektor perlancongan dan sektor-sektor berkaitan terjejas akibat sekatan kemasukan pelancong asing dan kawalan pergerakkan yang menjejaskan aktiviti pelancongan domestik.

Kedua, sektor-sektor ekonomi dalam negara terjejas akibat kesan rantaian bekalan global. Contohnya, pengeluaran sektor pembuatan automobil dan topeng muka terjejas kerana kekurangan pengeluaran bahan mentah di negara-negara terjejas akibat COVID-19 seperti China. Sektor pengangkutan udara juga terjejas kerana syarikat penerbangan terpaksa menghadkan atau memberhentikan seketika operasi penerbangan segmen luar negara.

Ketiga, guna tenaga perniagaan terjejas akibat daripada pekerja-pekerja yang terkena jangkitan dan juga arahan sementara kawalan pergerakan penduduk. Akibatnya, pengeluaran barangan dan perkhidmatan akan berkurangan.

Kita perlu percaya bahawa setiap musibah yang diturunkan oleh Tuhan ada kebaikan di sebaliknya. Bagi penulis, krisis COVID-19 ini membuka ruang kepada reformasi ekonomi yang melibatkan isi rumah, perniagaan dan kerajaan. Jika Febuari lalu Malaysia telah menekan butang reset politik, kini tibanya kita menekan pula butang reset ekonomi.

Di sini penulis senaraikan beberapa ruang penambahbaikan kepada isirumah, perniagaan dan kerajaan. Ia mungkin berguna, terpulanglah kepada kita untuk menilainya.

Isi rumah
  1. Penilaian semula perbelanjaan bulanan isi rumah. Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini, isirumah tertumpu kepada perbelanjaan berbentuk keperluan sahaja selain komitmen pembayaran hutang bulanan. Kemungkinan bebanan kewangan isi rumah sebelum ini dipengaruhi sebahagian besarnya oleh perbelanjaan kepada bukan keperluan yang terarah kepada gaya hidup.
  2. Kestabilan aliran tunai. Bagi sebahagian isi rumah, memiliki sumber pendapatan tambahan daripada pekerjaan tambahan mungkin perlu terutamanya yang tinggal di kawasan bandar. Ini akan membantu aliran tunai isi rumah ketika mendepani krisis ekonomi.
  3. Menilai risiko pekerjaan. Isi rumah dapat menilai sejauhmana pekerjaan mereka terdedah kepada risiko krisis ekonomi. Jika berisiko, maka mereka perlu memastikan langkah-langkah mendepani risiko telah diambil seperti mencarum di dalam Sistem Insuran Pekerjaan.
Perniagaan
  1. Penilaian semula strategi perniagaan. Pemasaran perniagaan makanan yang berasaskan ejen jualan dijangka akan terjejas di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. Dalam situasi krisis ini, kaedah pemasaran tradisional iaitu pemasaran di pasar raya dan kedai adalah lebih menjamin kelangsungan perniagaan.
  2. Kepentingan kepelbagaian perniagaan. Kepelbagaian perniagaan akan dapat mengurangkan beban dan aliran tunai akibat daripada sebahagian produk yang terjejas akibat krisis ini.
  3. Penilaian semula pelaburan yang kurang berisiko globalisasi. Krisis COVID-19 ini adalah bersifat globalisasi. Pelaburan ke atas sektor-sektor asas seperti pertanian perlu dipertimbangkan sebagai salah satu strategi kepelbagaian perniagaan.

Kerajaan
  1. Pelaksanaan reformasi struktur ekonomi. Masalah ekonomi hari ini sebahagian besarnya dipengaruhi oleh struktur ekonomi itu sendiri. Reformasi ke atas struktur ekonomi akan lebih berkesan dan sesuai dilaksanakan semasa ekonomi sedang perlahan. Krisis ini akan memperlihat di manakah lompang-lompang yang perlu diperbaiki.
  2. Penilaian keberkesanan ke atas alat kawalan dasar ekonomi. Semasa krisis ekonomi, keberkesanan alat kawalan dasar kewangan seperti kadar faedah dan alat kawalan dasar fiskal seperti perbelanjaan kerajaan dapat dinilai. Ini akan memberi panduan kepada kerajaan apakah dasar dan alat kawalan dasar yang efektif di dalam mendepani krisis ini.

* Profesor Madya Dr Mohd Yusof Saari adalah pemegang ijazah PhD daripada University of Groningen, the Netherlands. Beliau merupakan pensyarah di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, UPM.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.