Penyertaan pempamer China dalam Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) yang dijadualkan pada 3 hingga 6 April depan, tidak akan terjejas oleh perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China yang berterusan.

Sebaliknya, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Wan Latiff Wan Musa berkata, wujud penambahan sebanyak 22 peserta China dalam acara tersebut, sehingga menjadikan China sebagai negara ketiga terbesar yang mengambil bahagian selepas Thailand (29 pempamer) dan Korea Selatan (26 pempamer).

"Pempamer China sentiasa menjadi peserta terbesar di MIHAS.

"Bukan kesemua mengenai perang perdagangan AS-China akan menjadi negatif. Ia boleh memberi impak yang positif serta membolehkan Malaysia menjadi alternatif kepada pengimport Cina yang terjejas akibat tarif 25 peratus yang dikenakan oleh AS," katanya dalam taklimat media mengenai MIHAS 2019 pada Jumaat.

Wan Latiff berkata, kira-kira 1,000 pempamer dijangka menyertai edisi ke-16 MIHAS di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia pada tahun ini.

"Peneraju tempatan terdiri daripada 64 peratus, bakinya adalah peserta luar negara, kebanyakannya terlibat dalam sektor makanan dan minuman," katanya.

Wan Latiff menegaskan bilangan pempamer Jepun juga telah melonjak tiga kali ganda kepada 13 peserta berbanding hanya lima syarikat pada tahun lepas, seiring dengan permulaan Olimpik Tokyo 2020.

Beliau berasa teruja melihat peningkatan itu memandangkan MATRADE telah bekerjasama dengan rakan kongsinya di Jepun, Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (JETRO), selama beberapa tahun untuk mempromosikan industri halal.

Sementara itu, beliau menggesa peneraju industri halal tempatan untuk mengambil kesempatan daripada MIHAS 2019, yang digelar sebagai pameran perdagangan halal yang terbesar di dunia, bagi mengembangkan lagi perniagaan mereka.

Katanya, pelbagai program, termasuk enam persidangan dan lebih daripada 35 seminar akan diadakan sempena acara tersebut. Ia merangkumi Forum Inovasi Halal oleh World Startup Festival, Persidangan Pelancongan Islam oleh Pusat Pelancongan Islam dan HalalTrip serta termasuk Hari Kerjaya Halal.

MIHAS 2019 dihoskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan dianjurkan oleh MATRADE.

-- BERNAMA