Presiden Iran Dr Hassan Rouhani menyuarakan kesediaan Iran untuk bekerjasama dengan negara Islam lain dalam menangani kesukaran dan tekanan dari kuasa-kuasa luar khususnya dalam ekonomi digital dan kecerdasan buatan (AI).

Menurut Hassan, kuasa membeli rakyat terutamanya dalam negara Muslim mengalami penurunan dan negara-negara Islam berdepan kesukaran dan tekanan.

"Benar, kuasa membeli rakyat lemah. Eksport, import, penghantaran wang, pertukaran matawang semunya berdepan masalah,” ujarnya ketika menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Kuala Lumpur di Pusat Konvesyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Khamis.

Menurutnya, ekonomi digital merupakan masa depan kepada ekonomi dunia dan ia hanya mampu dicapai menerusi jaringan kerjasama.

Antara kerjasama yang beliau gariskan termasuk mewujudkan mata wang kripto Islam dengan kerjasama bank-bank pusat negara masing-masing.

Dalam ucapan sama, beliau turut menggesa negara-negara Islam untuk bekerjasama dalam menentang ‘keganasan ekonomi’ Amerika Syarikat.

Ujarnya, dunia Islam perlu ‘diselamatkan’ daripada didominasi oleh Dolar AS dan regim kewangan negara itu.

“Sekatan dan penguasaan S dalam ekonomi di peringkat nasional dan global telah memberi peluang kepada negara itu dalam meluaskan pengaruhnya,” katanya.