Bekas Ketua Pegawai Eksekutif IAP Integrated Sdn Bhd, Mohamed Izam Mohamed Yusof dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) Kumpulan Media Karangkraf berkuat kuasa hari ini.

Pelantikan Mohamed Izam diumumkan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah dan Pengarah Urusan Kumpulan serta Penerbit Sinar Harian, Datuk Hussamuddin Yaacub.

Hussamuddin melepaskan jawatan GCEO Kumpulan Media Karangkraf bermula hari ini.

"Saya hanya akan kekal memegang jawatan Pengerusi Lembaga Pengarah serta Pengarah Urusan Kumpulan dan juga Penerbit (untuk akhbar Sinar Harian).

"Sementara itu, Datuk Muhammad Nasir Hamzah akan kekal sebagai Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah," katanya.

Dalam pengumuman itu, Hussamuddin turut memaklumkan pelantikan Syamil Fahim Mohamed Fahim sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kepada syarikat usahasama Karangkraf-Astro, Nu IdeAktiv Sdn Bhd (Karangkraf Digital 360 Sdn Bhd) mulai 1 Mei 2018.

"Syamil Fahim akan dibantu oleh Farah Hussamuddin yang akan memegang jawatan sebagai Chief Contents Officer (CCO)," katanya.

Mohamed Izham memegang jawatan CEO IAP Integrated Sdn Bhd, sebuah syarikat yang mengendalikan platform berasaskan teknologi yang patuh syariah selama tiga tahun.

Memulakan kerjayanya sebagai juruaudit di Ernst and Young, Mohamed Izham kemudiannya bekerja dengan anak syarikat Tabung Haji - TH Technologies dan TH Global Services selama 17 tahun.

Beliau menamatkan perkhidmatannya di anak syarikat Tabung Haji sebagai Ketua Pegawai Eksekutif TH Global Services.

Selepas itu, beliau berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor selama lima tahun.