Komuniti perdagangan melihat peluang Malaysia untuk menjadi pintu masuk utama eksport Australia ke ASEAN terbuka luas.

Pengerusi Majlis Perdagangan Malaysia-Australia, Leigh Howard menyifatkan Malaysia sudah pun dikenali sebagai laluan utama ke ASEAN dalam bidang tertentu dan kini semakin berupaya menyaingi Singapura.

Keyakinan berkenaan dibuat susulan kemampuan negara untuk memperbaiki tahap mesra perniagaannya yang kini berada di tempat keenam dunia.

“Hubungan perdagangan antara kedua-dua negara semakin kukuh, hasil daripada interaksi sejak berdekad-dekad lalu, jadi ini waktu terbaik untuk saling melabur,” jelas Howard.

Laporan Bank Dunia ketika ini meletakkan Malaysia di tempat keenam dari aspek mesra perniagaan berbanding ke-12 tahun lalu, di belakang negara-negara seperti Singapura, Hong Kong, New Zealand dan Denmark.

Howard juga melihat, wujud peluang bagi usahawan Malaysia melabur dalam pelbagai bidang lain di Australia, selain daripada bidang hartanah.

Antaranya bidang pertanian, perkhidmatan, automotif dan teknologi maklumat.

Beliau juga membayangkan, syarikat dari kedua-dua negara dapat bekerjasama atau bergabung untuk membentuk pakatan pelaburan di pasaran yang berbeza.

“Saya lihat ini sebagai evolusi kerjasama antara syarikat Malaysia-Australia apabila mereka mahu mengembangkan peluang pelaburan mereka di luar pasaran masing-masing,” jelas Howard.

“Ia mungkin mengambil masa, tetapi pastinya menarik untuk melihat bentuk kerjasama seperti itu,” tambahnya.

Australia adalah rakan perdagangan kesembilan terpenting Malaysia.

Jumlah dagangan bilateral Malaysia-Australia merekodkan purata tahunan sekitar RM55 bilion.

Kunjungan Perdana Menteri Australia Tony Abbott ke Kuala Lumpur hujung minggu ini dijangka meningkatkan lagi hubungan perdagangan dua hala sedia-ada.

Kedua-dua negara mula menguatkuasakan Pelaksanaan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Australia (MAFTA) pada 1 Jan, 2013.