Bank Dunia mengunjurkan pertubuhan ekonomi Malaysia akan perlahan kepada 4.5 peratus tahun ini daripada 4.7 peratus pada 2015 berikutan permintaan domestik yang perlahan, namun memperoleh manfaat ekoran kurangnya pergantungan kepada hasil berkaitan komoditi.

Menurut Prospek Ekonomi Global Bank Dunia bagi Januari 2016, pertumbuhan Malaysia hampir sama dengan unjuran ekonomi membangun, yang dijangkakan berkembang 4.8 peratus tahun ini berbanding 4.3 peratus pada 2015.

Sementara itu, pertumbuhan dunia dijangkakan meningkat sederhana kepada 2.9 peratus daripada 2.4 peratus tahun lepas, dipacu oleh pertumbuhan yang lebih kukuh di ekonomi maju.

"Pertumbuhan yang lebih kukuh akan bergantung kepada momentum berterusan di negara berpendapatan tinggi, kestabilan harga komoditi, dan peralihan beransur-ansur China ke aras penggunaan yang lebih tinggi dan model pertumbuhan berasaskan perkhidmatan," kata Bank Dunia.

Ia berkata pertumbuhan ekonomi dunia dijangka kurang berbanding tahun lepas selepas kejatuhan harga komoditi, dagangan, aliran modal dan episod turun naik kewangan yang mengekang aktiviti ekonomi.

Di Asia Timur dan Pasifik, Bank Dunia mengunjurkan pertumbuhan kawasan berkenaan perlahan kepada 6.3 peratus tahun ini daripada 6.4 peratus pada 2015 disebabkan pertumbuhan yang lebih perlahan di China.

"Pertumbuhan di China dijangkakan susut kepada 6.7 peratus tahun ini berbanding 6.9 peratus tahun lepas," katanya.

Ia berkata pertumbuhan yang Perlahan dalam ekonomi kedua terbesar dunia itu dijangkakan mengimbangi peningkatan kecil pertumbuhan dalam negara ASEAN tahun ini.

Namun katanya rantau ini dijangkakan menerima manfaat daripada pengukuhan dalam pemulihan ekonomi maju, harga bahan api yang rendah, kestabilan politik dan kedudukan yang lebih baik dalam pasaran kewangan dunia walaupun dasar monetari dijangkakan di US lebih ketat.

Ia berkata pengukuhan dagangan dan pelaburan serantau akan merangsang aktiviti ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan.

"Perjanjian perdagangan Perkongsian Trans-Pasifik jika dilaksanakan akan meningkatkan perdagangan dan pertumbuhan di rantau ini," kata Bank Dunia.

Ia berkata pertumbuhan di Asia Timur dan Pasifik perlahan kepada anggaran 6.4 peratus pada 2015 daripada 6.8 peratus sebelumnya disebabkan penyusutan berterusan pertumbuhan di China dan pengeksport komoditi, termasuk Indonesia dan Malaysia.

Penyusutan itu bagaimanapun diimbangi oleh prestasi kukuh import komoditi, terutama Vietnam dan Filipina, dan pemulihan sederhana di Thailand.