Kutipan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) melepasi jangkaan awal kerajaan sebanyak 34 peratus pada RM5.4 bilion berbanding unjuran awal RM4 bilion, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Dalam satu kenyataan, Guan Eng berkata ia merangkumi cukai jualan import cukai jualan domestik, dan cukai perkhidmatan.

“Kerajaan yakin akan mencapai defisit fiskal 3.7 peratus dan 3.4 peratus bagi 2018 dan 2019. Berdasarkan pemeriksaan saya, kedudukan fiskal kerajaan berada pada 3.7 peratus dari sasaran bagi tahun 2018," katanya.

Guan Eng berkata beberapa reformasi struktur yang diumum kerajaan sedang berjalan termasuk meningkatkan kecekapan perbelanjaan kerajaan, pengenalan tender terbuka, semakan semula projek utama termasuk Transit Aliran Massa (MRT) dan Transit Aliran Ringan (LRT).

“Kerajaan sudah menjelaskan reformasi fiskal akan mengambil masa tiga tahun untuk disempurnakan. Lebih banyak langkah akan diperkenalkan pada 2020 sebagai tambahan kepada langkah yang sudah diumum melalui Belanjawan 2019,” katanya.