Tiga Badan Berkanun Persekutuan iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) mencatatkan aset pelaburan tertinggi berjumlah RM1.36 billion.

Menurut laporan Ketua Audit Negara 2017 Siri 2, aset pelaburan bagi ketiga-tiga syarikat itu meliputi 92.6 peratus daripada keseluruhan aset pelaburan yang berjumlah RM1.46 bilion.

"Berdasarkan semakan terhadap 10 Badan Berkanun Persekutuan yang merekodkan aset pelaburan tertinggi, tujuh daripadanya telah merekodkan peningkatan aset pelaburan pada 2017 antara 1.7 peratus hingga 15.1 peratus berbanding 2016.

"Selain itu, tiga Badan Berkanun Persekutuan mencatatkan penurunan dalam aset pelaburan iaitu Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (30.3 peratus), Majlis Amanah Rakyat (16 peratus) dan Bank Simpanan Nasional (12.8 peratus)," menurutnya.

BACA: Laporan Ketua Audit: TH, LHDN, Felda diberi Pendapat Tanpa Teguran

Bagi aset pelaburan, menurut laporan itu, aset pelaburan di dalam negara adalah berjumlah RM814.81 bilion atau 55.6 peratus dan aset pelaburan di luar negara pula berjumlah RM649.58 bilion.

"Daripada 78 Badan Berkanun Persekutuan yang memperoleh aset pelaburan, hanya empat Badan Berkanun mencatatkan peningkatan pelaburan di luar negara selain pelaburan dalam negara, iaitu BNM (4.0 peratus), KWSP (22.4 peratus), KWAP (11.3 peratus) dan Lembaga Tabung Haji (24.1 peratus).

"Bagi Lembaga Minyak Sawit Malaysia pula, ia tidak mencatatkan sebarang penambahan atau pengurangan manakala Pertubuhan Keselamatan Sosial mencatatkan penurunan sebanyak 99.8 peratus," menurutnya. -- Bernama