Walaupun kedudukan Malaysia dalam Laporan Tahunan Daya Saing Dunia (WYC) 2015 turun dua anak tangga berbanding tahun lepas, ia tidak akan menjejaskan sentimen pelabur ke atas negara.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Dr Rebecca Fatima Sta Maria berkata, penurunan Malaysia dari tangga ke-12 ke tangga ke-14 di kalangan 61 negara, masih menunjukkan tanda-tanda positif bahawa Malaysia telah menunjukkan prestasi yang baik dari segi ekonomi makro.

Dalam laporan itu, Malaysia mendahului negara-negara seperti Belanda, Ireland, New Zealand, Australia dan United Kingdom (UK).

Katanya, persepsi responden pada suku pertama, ketika kajian oleh Institute for Management Development (IMD) yang berpangkalan di Switzerland itu dijalankan, berpunca daripada beberapa cabaran dan kebimbangan termasuk pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan.

"Kaji selidik IMD dilakukan semasa negara melalui pelbagai suasana yang membimbangkan. Wujud faktor luaran yang boleh dikawal dan ada yang lain tidak boleh. Dalam kes ini, ia di luar kawalan," tambahnya.

Sebelum ini, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamad memaklumkan, Malaysia menambahbaik skor kepada 84.11 berbanding 82.09 yang dicapai tahun lepas.

WYC turut menyenaraikan Malaysia di tangga pertama dalam kalangan 30 ekonomi yang mempunyai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita RM72,000, sekaligus mengulangi kedudukan sama tahun lepas.

Malaysia juga menduduki tempat kelima dari 28 negara yang mempunyai penduduk lebih 20 juta bagi tahap kompetitif sementara di kalangan anggota Asean, Malaysia kekal di tempat kedua dan keempat di rantau Asia Pasifik.

Penilaian WYC melibatkan empat faktor utama iaitu prestasi ekonomi, kecekapan kerajaan, kecekapan perniagaan dan pasaran.

Antara empat faktor itu, Malaysia mencatat peningkatan dalam petunjuk prestasi ekonomi, naik tiga tangga ke kedudukan keenam daripada kedudukan kesembilan tahun lalu.

Mustapa berkata peningkatan itu didorong pertumbuhan ketara subsektor ekonomi domestik dan pasaran pekerjaan.

Laporan turut menyebut program transformasi kerajaan membuahkan hasil positif dan menyumbang kepada daya tahan ekonomi termasuk inisiatif di bawah program transformasi ekonomi dan program transformasi kerajaan.

Selain WYC, kerajaan juga memantau Laporan Mudah Menjalankan Perniagaan Bank Dunia dan Laporan Daya Saing Global oleh Forum Ekonomi Dunia.

Laporan WCY menjejak data kualitatif dan kuantitatif hasil daripada tinjauan pendapat para eksekutif.