Kerajaan tidak akan membuka semula tender bagi Projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) kerana ia akan mengakibatkan implikasi kewangan yang tinggi kepada negara, jelas Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Katanya, walaupun Rakan Pelaksana Projek (PDP) itu gagal mematuhi syarat-syarat pembinaan yang ditetapkan dalam perjanjian terdahulu, kerajaan mengambil pendekatan untuk mengkaji semula kos sebagai langkah penjimatan semula.

Pada masa yang sama, beliau menempelak kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini yang dakwanya tidak mengambil tindakan walaupun PDP gagal patuh kepada perjanjian.

Sebaliknya, katanya, Prasarana Malaysia Bhd memohon untuk mendapat pinjaman tambahan RM31.65 bilion.

“Kalau sekiranya itu kegagalan daripada PDP, mengapa pula apabila pada bulan Mac, Prasarana sendiri memohon untuk mendapat tambahan dari segi pinjaman sebanyak RM31.65 bilion.

“Bermakna, sekiranya PDP gagal untuk patuh, kita harus berdepan dengan PDP. Tetapi, tidak. Sebaliknya, kerajaan terdahulu memohon pinjaman ditambah,” katanya ketika menjawab soalan tambahan dari Datuk Seri Reezal Merican Naina (BN-Kepala Batas) pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ni.

Reezal Merican ingin mengetahui sama ada kerajaan kini akan membuka semula tender LRT3 memandangkan PDP gagal untuk mengikuti terma perjanjian yang ditetapkan.

Menjawab lanjut, Lim berkata, pendekatan kerajaan BN sepatutnya ialah dengan mengambil tindakan terhadap PDP berkenaan, tetapi ia tidak melakukan demikian.

Atas sebab itu, katanya, kerajaan Pakatan Harapan tidak akan menghentikan perkhidmatan PDP berkenaan kerana ia akan melibatkan kos pampasan yang terpaksa dibayar sebanyak RM4.2 bilion.

Sebaliknya, beliau menjelaskan, rundingan semula telah dilakukan dan sebanyak RM15 bilion dari kos asal berjaya dijimatkan.

Dalam soalan asalnya, Reezal Merican minta Menteri Kewangan menyatakan jumlah keseluruhan yang perlu dibayar kepada PDP untuk Projek LRT3.

Dia juga bertanya mengenai Projek LRT3 dengan kadar baru serta spesifikasinya.