Langkah yang diperkenalkan kerajaan untuk menggalakkan penubuhan perniagaan baharu melalui penggabungan dan pengambilalihan (M&A) akan menjadikan sesebuah entiti perusahaan kecil dan sederhana (PKS) lebih sihat selain mengurangkan persaingan.

Pengerusi Kelab Usahawan dan Profesional Malaysia, Dr. K. R. Salleh berkata menerusi M&A, ia bukan sahaja mengurangkan persaingan sesama PKS, malah akan meningkatkan pendapatan dan keuntungan mereka.

“Ramai yang berkata apabila berlaku M&A, pembuangan pekerja dan pengecilan operasi akan berlaku sebagainya, tapi ia bergantung.

“Ini kerana pada hemat saya, sekiranya tenaga kerja masih diperlukan berdasarkan aset yang ada seperti tanah, aktiviti perniagaan dan sebagainya, maka tidak timbul soal pembuangan pekerja ataupun pengurangan dari segi bilangan pekerja.

“Apa yang paling penting ialah, saya mahu melihat bagaimana M&A memberi kesan kepada daya tahan syarikat. Pertama adalah dari segi peluang perniagaan dan penambahan pendapatan serta keuntungan.

“Kedua dari segi pengekalan tenaga pekerja dan meneruskan operasi perniagaan seperti biasa. Itu cabarannya,” ujarnya ketika ditemubual Astro AWANI dalam program Niaga AWANI hari ini.

Menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), kerajaan memperkenalkan langkah untuk menggalakkan penubuhan perniagaan baharu seperti rebat cukai pendapatan dan pengecualian duti setem untuk M&A.

Ujarnya, tiba masanya untuk para PKS menilai semula perniagaan mereka selain mencari solusi terbaik dalam mendepani cabaran jangka masa panjang sekurang-kurangnya untuk tiga tahun ini.

“Ini adalah masa yang tepat untuk anda memikirkan semula tentang operasi perniagaan anda dan kemungkinan bersedia melaksanakan M&A dengan rakan perniagaan anda yang lain.

“Setidak-tidaknya itu salah satu proses untuk memastikan daya saing dan daya tahan dan juga kemampuan untuk menjana pendapatan dan keuntungan syarikat selain semakin berpotensi dan berkembang.

“Kita kena faham, di masa akan datang dalam setahun ke tiga tahun ini, kita akan menghadapi cabaran dari segi persaingan dan juga peluang perniagaan khususnya dalam sektor perkhidmatan,” jelasnya.

Justeru, beliau berharap menerusi inisiatif M&A itu, para PKS akan mengekalkan bilangan pekerja, tidak berlaku pengurangan pekerja selain mampu menjana pertambahan pendapatan dan keuntungan kerana persaingan antara satu sama lain semakin berkurangan sekaligus membuka peluang yang lebih besar kepada komuniti PKS.