Malaysia Airlines boleh kembali untung dalam tempoh singkat selepas melakukan pemotongan kos besar melalui pengecilan saiz pekerja, dan kapasitinya.

Menurut Penganalisis Penerbangan Endau Analytics Shukor Yusof, fokus utama tidak hanya terhenti kepada meraih untung sebaliknya pelan pengembangan selepas dua ke tiga tahun beroperasi di bawah syarikat baru.

Tambahnya cabaran utama Malaysia Airlines kini adalah mengembalikan keyakinan penumpang antarabangsa yang terjejas akibat tragedi berganda.

"Menjadi relevan semula sebagai syarikat penerbangan dan menarik penumpang antarabangsa. Saya rasa penumpang tempatan masih setia bersama Malaysia Airlines.

"Kita hanya sebuah negara dengan populasi 30 juta, ia kecil berbanding negara lain. Jika kita mahu penerbangan kebangsaan berjaya, kita perlu masyarakat antarabangsa menggunakan Malaysia Airlines," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

BACA: #todayishere simbol kelahiran baharu Malaysia Airlines

Tambahnya perubahan drastik termasuk strategi adalah kunci kejayaan utama selain perubahan kosmetik dan wajah penerbangan.

Ujarnya keuntungan daripada operasi harus menjadi tumpuan berbanding keuntungan daripada potongan kos.

Tambahnya penting untuk Malaysia Airlines berkembang terutama ke laluan Eropah bagi menjadikan ia syarikat penerbangan yang relevan di persada antarabangsa.

Strategi Malaysia Airlines juga katanya tidak seharusnya fokus kepada penerbangan tambang murah kerana ia bukan DNA syarikat, malah persaingan tambang murah lebih sengit dan sukar untuk bersaing.