Malaysia Airlines Berhad (MAB) memuktamadkan perjanjian pembelian dengan Syarikat CFM International untuk enjin LEAP-1B bagi menambah kuasa pesawat Boeing 737 MAX miliknya.

Enjin dikeluarkan anak syarikat General Electric (GE) itu bernilai lebih RM2.6 bilion (AS$630 juta) pada harga semasa.

Enjin berkenaan akan digunakan pada 25 pesawat Boeing 737 MAX dan dijadualkan dihantar mulai 2020.

Enjin generasi baru LEAP mempunyai pelbagai kelebihan, termasuk lebih aerodinamik dan mampu menjimatkan bahan api sebanyak 15 peratus yang turut menyumbang kepada pengurangan pembebasan karbon dioksida kepada ruang angkasa, selain kos penyelenggaraan rendah.

Selain itu, MAB turut mendapat hak pembelian tambahan 25 pesawat Boeing 737 dikuasakan enjin LEAP-1B.

Majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) itu disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

MoU ditandatangani antara Presiden dan CEO GE Asean Wouter Van Wersch, Pengarah Urusan Kumpulan merangkap CEO MAS, Peter Bellew dan Pengurus Besar Jualan Asia Pasifik untuk CFM International Chris Drewer.

Turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Pengerusi MAB, Tan Sri Mohd. Nor Mohd. Yusof dan Pengerusi yang juga Ketua Pegawai Eksekutif GE, Jeff Immelt.

Pada majlis sama, MAB menandatangani MoU dengan General Electric International Inc (Malaysia) untuk kerjasama berterusan dalam bidang pembangunan kepimpinan.