Mah Sing Group Bhd menerusi anak syarikat milik penuhnya, Mah Sing Properties Sdn Bhd, hari ini membeli tanah pegangan bebas utama seluas 1.44 hektar di Jalan Beserah dekat Jalan Tun Razak pada pertimbangan harga mencecah RM60 juta.

Menurut kumpulan itu, harga pembelian sebenar akan diselaras mengikut ketetapan kadar kepadatannya adalah lebih rendah daripada 350 unit seekar yang akan diumumkan kelak.

"Usaha pembelian itu sejajar dengan usaha kumpulan untuk memiliki tanah penting di lokasi strategik, khususnya di Lembah Klang dan meningkatkan jumlah simpanan tanah di kawasan berkenaan.

"Ia turut menjadikan simpanan tanah kami di kawasan utama kepada 942.10 hektar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dan jualan belum dicatatkan sebanyak RM30.9 bilion," kata kumpulan itu dalam satu kenyataan, hari ini.

Deposit sebanyak RM6 juta telah dibayar pada majlis pemeteraian perjanjian jual beli berkenaan manakala bayaran baki akan dibuat dalam masa tiga bulan selepas penjualan tidak bersyarat dengan tempoh lanjutan automatik selama dua bulan.

Kumpulan itu berkata, tanah itu akan digunakan bagi pembangunan kediaman yang menghadap berdepan Taman Tasik Titiwangsa.

Ia dijangka melibatkan pembinaan kondominium tepi tasik dengan anggaran kawasan binaan seluas 850 kaki persegi pada anggaran harga serendah RM485,000.

Mah Sing Group juga menyasarkan anggaran GDV projek itu mencecah RM650 juta.

"Kami menyasarkan untuk meningkatkan jumlah simpanan tanah di Lembah Klang sehingga 75 peratus daripada keseluruhan baki GDV dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang berbanding 62 peratus ketika ini.

"Usaha meningkatkan pembelian tanah di Lembah Klang dengan tumpuan (tawaran) harga yang berpatutan ini akan meletakkan kami pada kedudukan lebih baik bagi memenuhi permintaan pasaran," kata Pengarah Urusan Kumpulan, Tan Sri Leong Hoy Kum.

-- BERNAMA