Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) telah melancarkan Portal Bil Dalam Talian untuk kegunaan hampir 15,000 pelanggan, pembekal, rakan perniagaan dan syarikat-syarikat penerbangan.

Pengendali lapangan terbang itu dalam satu kenyataan hari ini, berkata portal tersebut akan membolehkan proses kewangan yang lebih cekap dan telus.

"Rakan-rakan perniagaan syarikat kami akan disediakan dengan satu tanda pengenalan yang unik, yang akan membenarkan mereka untuk mengakses portal itu bagi melihat maklumat bil dan tarikh pembayaran," katanya.

Inisiatif itu telah dibuat dengan tujuan bagi memudahkan rakan-rakan perniagaan MAHB mengakses dan mengesahkan butiran bil serta status pembayaran secara dalam talian dan di atas permintaan.

"Dengan kemudahan ini, kami menjangkakan proses pengumpulan untuk jabatan akaun dan rakan-rakan perniagaan kami akan menjadi lebih cekap," katanya.

Sementara itu, MAHB berkata ia telah bekerjasama dengan semua rakan perniagaan daripada syarikat penerbangan utama dalam menyelesaikan bayaran mengenai kutipan Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC).

Katanya, syarikat itu sentiasa mengamalkan perbincangan dengan syarikat penerbangan untuk mencari penyelesaian mengenai apa-apa perkara khususnya tentang kewangan dan operasi yang semakin meningkat.

"MAHB menghargai hubungan yang ada dengan kesemua syarikat penerbangan yang menjadi rakan perniagaan kami. Kami akan sentiasa mencari jalan untuk memperbaiki dan mempertingkatkan proses pembayaran serta pembilan," katanya.

PSC adalah caj bayaran yang dikawal selia oleh kerajaan dan disertakan dalam tiket penerbangan, ianya perlu dibayar kepada MAHB selepas dikutip oleh syarikat penerbangan daripada penumpang.

Caj ini hanya perlu dibayar apabila penumpang menaiki pesawat mereka dan digunakan untuk penyelenggaraan serta pembangunan yang berterusan bagi kemudahan dan perkhidmatan di lapangan terbang.

-- BERNAMA