Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) melantik Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) baharunya, berkuat kuasa 1 Mei.

Dalam satu kenyataan, MAHB berkata Mohd Shukrie akan memain peranan penting dalam memacu dan memantau strategi berkaitan operasi lapangan terbang, keselamatan lapangan terbang dan perancangan dan pembangunan lapangan terbang, pengurusan projek, pengurusan kemudahan selain perkhidmatan perundingan kumpulan bagi memantau operasi dan pengurusan lapangan terbang.

"Berdasarkan pengalaman luas beliau termasuk dalam perbankan pengguna dan korporat, penggabungan dan pengambilalihan, pengurusan risiko dan sumber manusia, beliau membawa nilai penting ke dalam kumpulan bagi merealisasikan sasaran meletakkan Malaysia sebagai hab penerbangan yang kukuh selain berubah menjadi pemimpin perkhidmatan," katanya.

-- BERNAMA