Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) berkata ia akan memberi kerjasama sepenuhnya untuk melaksanakan kadar baru Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC) yang diumum Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).

MAHB juga menyambut baik langkah secara berperingkat yang diambil MAVCOM untuk menyelaraskan kadar PSC di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 dalam usaha menggalakkan persaingan.

Untuk permulaan, PSC ke destinasi domestik dan ASEAN berada pada kadar sama di KLIA and KLIA2, di mana PSC di kedua-dua terminal dipinda kepada RM11 bagi penerbangan domestik dan RM35 bagi penerbangan ASEAN.

Namun, kadar PSC bagi penerbangan jarak jauh akan disemak secara berperingkat dalam masa setahun.

"MAVCOM akan melaksanakan semakan terhadap PSC dalam masa setahun untuk menyamaratakan kadar PSC untuk penerbangan jarak jauh. Ini satu langkah yang baik kerana objektif MAVCOM akan disahkan selepas satu tahun," kata MAHB dalam satu kenyataan pada hari Isnin.

Terdahulu, MAVCOM pada Isnin memperkenalkan kadar PSC yang baharu dan lebih rendah untuk penerbangan ASEAN.

Bermula 1 Januari 2017, PSC akan dikurangkan daripada RM65 kepada RM35 untuk setiap penumpang dalam penerbangan ke mana-mana destinasi ASEAN dari semua lapangan terbang utama di Malaysia.