Malaysia Airlines Bhd dan Boeing hari ini memeterai janji niaga bagi membeli 50 pesawat 737 MAX dengan 25 tempahan pasti dan 25 hak pembelian bernilai US$5.5 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Peter Bellew berkata serahan akan bermula pada 2019.

"Janji niaga itu adalah pembawa perubahan bagi Malaysia Airlines dengan kos lebih murah dan kecekapan yang lebih tinggi, yang akan disalurkan kepada pelanggan setianya menerusi tambang lebih rendah," katanya dalam satu kenyataan.

Bellew berkata dengan keupayaan jarak jauh 737 MAX, Malaysia Airlines akan dapat menghubungkan penumpangnya ke lebih banyak destinasi dengan pesawat yang lebih selesa.

Syarikat penerbangan nasional itu beroperasi dengan hampir setiap kumpulan pesawat 737 dan menerima serahan pesawat 737 keseratusnya pada Disember 2014.

Ketika ini ia beroperasi dengan 56 pesawat 737-800.