Syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines merekodkan keuntungan pada Februari, yang merupakan keputusan positif pertamanya sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Ketua pegawai eksekutifnya, Christoph Mueller memaklumkan syarikat itu optimis untuk kembali mencatat keuntungan menjelang 2018.

Namun demikian, Mueller menyifatkan syarikat penerbangan itu masih mempunyai banyak masalah.

Bagaimanapun, keuntungan bulanan yang dicatatkan ini adalah satu petanda mereka berada di landasan yang betul.

Mueller berkata antara masalah utama syarikat itu adalah kos operasi yang tinggi dan sistem teknologi maklumat yang lama.

“Sasaran kita adalah untuk pulangan modal pada 2018.

“Bagi sebuah syarikat yang rugi RM2 bilion ($511 juta) pada tahun lepas, jika kami mampu membawa pulangan modal walaupun untuk satu bulan sahaja, ia bermakna jurang kewangan antara pendapatan dan kos telah dikurangkan dengan ketara.

“Itu adalah berita baik yang memberitahu kita bahawa kita berada di trajektori yang betul, " katanya dalam temu ramah eksklusif bersama The Associated Press.

Tambahnya, syarikat itu memberi tumpuan kepada Asia, pasaran yang paling kuat untuk perjalanan udara antarabangsa, supaya ia boleh meninggalkan ‘impak yang kuat’ di rantau itu.

Tahun 2014 menyaksikan prestasi MAS merosok teruk susulan bencana berganda, kehilangan pesawat MH370 dan insiden MH17 ditembak jatuh, mencalar reputasi syarikat penerbangan itu.

Mueller dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif bagi melaksanakan pelan pembaharuan bernilai $1.5 billion.

Pelan pemulihan yang menyaksikan penubuhan sebuah syarikat penerbangan baru, turut menyaksikan pemberhentian 6,000 kakitangannya.