Malaysia Airlines giat meninjau laluan serantau yang sesuai sebagai sebahagian daripada pengembangan perniagaannya, terutamanya bagi penerbangan dari Pulau Pinang.

Ketua Serantau bagi Malaysia dan Brunei Malaysia Airlines Bhd (MAB) Roslan Ismail berkata kumpulan tersebut dalam peringkat pengembangan, dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) akan menjadi antara lapangan terbang dengan jumlah penumpang yang tinggi berikutan kumpulan itu sedang mempertimbangkan untuk mengadakan penerbangan langsung serantau.

"Selepas penstrukturan semula kami, yang membawa kepada pengurangan laluan antarabangsa dan serantau, kami kini meninjau peluang untuk berkembang sekali lagi," katanya kepada pemberita selepas mengumumkan Malaysia Airlines sebagai syarikat penerbangan rasmi Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Pulau Pinang 2018 di sini pada Isnin.

Beliau berkata baru-baru ini, kumpulan itu menerima pesawat Airbus 350-XWB, yang menawarkan kemudahan moden dan lebih baik, termasuk kabin yang lebih senyap, udara segar, pencahayaan pintar dan perkhidmatan Wi-Fi dalam pesawat.

"Kami juga baru-baru ini melaksanakan pembaharuan pelbagai produk, daripada pengubahsuaian Golden Lounges di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kepada pengenalan menu dalam penerbangan 'Best of Malaysia' dan pengenalan penyelesaian inovatif untuk meningkatkan pengalaman penumpang," kata Roslan.

Malaysia Airlines melalui rangkaiannya ke lebih 1,000 destinasi di lebih 150 buah negara dan kini, mempunyai 10 penerbangan harian langsung dari PIA ke KLIA.

Roslan berkata pada Pameran MATTA Pulau Pinang, bermula dari 30 Mac hingga 1 April, MAB akan menawarkan 40 hingga 50 peratus diskaun bagi 11 laluan antarabangsa, termasuk London, Sydney, Perth, Denpasar, Jakarta, Phnom Penh, Tokyo, Incheon, Guangzhou, Dhaka dan Colombo.

"Kami akan memberikan dua tiket kelas ekonomi ke Perth sebagai sebahagian daripada hadiah bagi 'Buyers Contest' pada pameran tersebut," katanya.

Setiausaha Kehormat Pameran MATTA Pulau Pinang Nigel Wong menjangka jumlah pengunjung ke Pulau Pinang akan meningkat, berikutan negeri ini merupakan antara destinasi pelancongan paling popular di Malaysia.

"Kami menjangka untuk menarik kira-kira 20,000 pengunjung pada tahun ini, berbanding 17,775 pada tahun lepas. Walaupun orang ramai boleh mendapat tawaran secara dalam talian, saya mencadangkan mereka datang ke pameran tersebut untuk mendapat lebih banyak pilihan dan tawaran.

"Saya perlu mengingatkan pelancong bahawa tidak semua tawaran boleh didapati secara dalam talian. Semua peserta pameran gembira untuk memberi pembeli lebih banyak nilai dan membantu menyusun perjalanan mereka mengikut keperluan mereka," katanya.

Pameran pada tahun ini membabitkan 46 peserta, termasuk 27 ejen pelancongan, lima pejabat pelancongan kerajaan negeri tempatan, Tourism Malaysia, Kementerian Pelancongan Indonesia, Pejabat Pelancongan Kerajaan Macau, dan Jabatan Pelancongan Wilayah Riau.

-- BERNAMA