Malaysia Airlines menjadi syarikat penerbangan pertama Malaysia menerima sijil Fast Travel Green Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

Ia mengiktiraf usaha syarikat penerbangan itu bagi menjadikan perjalanan penumpang lebih fleksibel dan selesa menerusi kemudahan layan diri.

Malaysia Airlines memperoleh rangking Green itu dengan memenuhi lima daripada syarat-syarat, iaitu daftar masuk, beg yang telah siap sedia, tempahan semula penerbangan, menaiki sendiri pesawat dan pengembalian beg.

Sijil tersebut diserahkan oleh Pengurus Kawasan IATA bagi Singapura, Malaysia, Brunei, Bangladesh, Sri Lanka dan Maldives, Sunil Chopra, kepada Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines, Peter Bellew di Ibu Pejabat syarikat penerbangan itu di Sepang.

"Kami gembira menjadi syarikat penerbangan pertama Malaysia menerima sijil Fast Travel Green IATA.

"Pencapaian ini menandakan satu lagi kejayaan utama ketika kami berusaha menambah baik keselesaan penumpang dan keseluruhan kecekapan operasi syarikat penerbangan," kata Bellew dalam satu kenyataan pada Khamis.

Perkhidmatan itu sejajar dengan strategi Malaysia Airlines untuk menggunakan teknologi bagi mempermudahkan dan mengurangkan masa daftar masuk, memberikan lebih keselesaan kepada pelanggan.

Malaysia Airlines sudahpun berusaha ke arah mendapatkan status 'emas' yang akan memerlukan pelaksanaan pengesahan dokumen perjalanan sendiri bagi penumpang.

Menjelang 2020, IATA menyasar 80 peratus penumpang global ditawarkan kemudahan layan diri lengkap sepanjang perjalanan mereka, berdasarkan kepada standard industrinya.

-- BERNAMA