Angka awal jumlah trafik di lapangan terbang kendalian Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) di Malaysia bagi 2017 melepasi unjuran pada 96.5 juta penumpang, peningkatan 8.5 peratus berbanding 2016.

"Pertumbuhan itu disokong terutama sektor antarabangsa pada purata pertumbuhan 8.5 peratus berbanding sektor domestik sebanyak 6.5 peratus," kata Pengarah Urusan MAHB, Datuk Badlisham Ghazali dalam satu kenyataan.

"Bagi 2018, kami akan memperkasa inisiatif dalam pembangunan sambungan laluan udara di KLIA dan lapangan terbang serantau kami.

"Langkah ini akan menjadi pemacu utama menarik kedatangan lebih banyak penerbangan ke lapangan terbang kami," katanya sambil menambah MAHB bakal melabur dalam automasi bagi mengoptimumkan kapasiti lapangan terbang.

Badlisham berkata, Pendigitalan dan Analisis Big Data (BDA) bakal menjadi pemangkin utama 2018 di mana syarikat itu akan mampu merekodkan data mendalam dan maklumat berkaitan fungsi lapangan terbang serta profil pelanggan.

"Data itu bagi membolehkan penyediaan pandangan lebih mendalam bagi mengukur prestasi lapangan terbang secara tepat."

Badlisham berkata berdasarkan semua inisiatif yang dilaksanakan di bawah pelan strategik Runway to Success (RtS2020), ia bakal meletakkan Malaysia sebagai hab penerbangan digemari ASEAN.

Di peringkat antarabangsa pula, MAHB akan memberi tumpuan kepada pembinaan landasan kedua di Lapangan Antarabangsa Sabiha Gokcen Turki.