Malaysia akan memperkukuh hubungan ekonomi dengan Iran susulan sekatan antarabangsa ke atas negara itu ditarik balik, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

"Kita akan terus melihat Iran sebagai sebuah negara penting bagi memasarkan produk-produk negara seperti minyak sawit," kata Datuk Seri Mustapa Mohamed kepada Bernama.

"Kita mempunyai dagangan yang agak tinggi bersama Iran. Ketika ini kita mempunyai beberapa projek perumahan di negara itu," katanya.

Jumlah dagangan Malaysia-Iran berada pada paras yang stabil, bernilai RM95 juta tahun lepas.

Mustapa berkata kementerian itu menyedari bahawa satu atau dua negara anggota ASEAN kini agresif meneroka peluang baharu setelah Iran kembali memasuki ekonomi dunia.

Beliau berkata Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan mengatur 'satu masa lawatan peringkat lebih tinggi 'tidak lama lagi.

(Latar belakang) Iran sebelum ini mengumumkan negara itu mempunyai keupayaan untuk menarik lebih RM180 bilion sumber kewangan asing tahun depan (Mac 2016-Mac 2017), dengan kira-kira RM$60 bilion menerusi pelaburan langsung asing.

Kedudukan Iran yang strategik, kestabilan politik selain penduduk seramai 80 juta dan rizab minyak yang besar, menjadikan negara itu sebagai lokasi menarik untuk pelaburan asing.

Banyak delegasi perdagangan melawat Iran susulan perjanjian nuklear pada Julai 2015.

Perjanian bersejarah bagi nuklear itu menamatkan sekatan antarabangsa ke atas Iran berkuat kuasa 16 Jan 2016.

Syarikat penerbangan kos rendah jarak jauh AirAsia X juga telah mengumumkan bahawa syarikat itu sedang menimbang untuk kembali terbang ke Tehran berdasarkan potensi besar negara itu.