Malaysia berada di landasan untuk mencapai status hab halal global menjelang 2020, disokong oleh ekosistem holistik, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Menurutnya, negara ini kekal peneraju industri halal dunia kerana ia merangkumi sektor kewangan Islam, farmasutikal, logistik dan pelancongan, selain segmen makanan dan minuman.

"Kita kukuh terutama dalam sektor makanan dan minuman berbanding negara lain dan mendapat pengiktirafan baik terhadap logo halal kita," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2017 oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Mustapa berkata, Malaysia telah membantu banyak negara lain dan bekerjasama dengan pertubuhan halal mereka dari segi mendapatkan pensijilan halal.

"Kita sedang bekerjasama dengan Indonesia mengenai penyeragaman pensijilan halal," katanya.

Ditanya mengenai pelaburan halal, menteri itu berkata, berikutan ketidaktentuan ekonomi, negara ini menyaksikan pengaliran masuk pelaburan yang sederhana.

Bagaimanapun, Mustapa menegaskan yang jangkaan Malaysia untuk mencatat pelaburan halal bernilai RM15 bilion menjelang 2020 'boleh dicapai' berbanding RM11 bilion ketika ini.

Mengenai pelbagai cabaran dalam industri halal, Mustapa berkata, satu daripadanya ialah untuk membolehkan lebih banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengeksport produk dan perkhidmatan mereka.

"Tetapi dengan adanya platform e-dagang sekarang ini, kita berupaya meletakkan lebih banyak PKS di atas platform digital," katanya.

Pasaran halal global kini bernilai US$2.3 trilion (US$1=RM4.42) setahun dengan sektor makanan halal, sebagai komponen teras, bernilai US$660 bilion.

Eksport produk halal Malaysia pada 2016 bernilai RM39.3 bilion. Barangan eksport utama tahun lepas ialah makanan dan minuman, diikuti ramuan halal serta derivatif minyak sawit.

Antara pasaran eksport utama Malaysia ialah China, Singapura, Amerika Syarikat dan Jepun.

Eksport halal Malaysia juga diunjur untuk menyumbang 8.7 peratus kepada keluaran dalam negara kasar menjelang 2020.

Sebelum itu dalam ucapan perasmiannya, Ahmad Zahid berkata, lebih banyak syarikat asing menunjukkan minat dalam industri halal Malaysia, termasuk satu daripada pengeluar bahan perasa terkenal di dunia dari Jepun, yang menyatakan minat untuk mendirikan kilang ramuan halal pertamanya di sini.

Tahun ini, MIHAS 2017, yang bermula hari ini sehingga 8 April, menjadi tuan rumah 580 pempamer dari 33 negara, termasuk anggota ASEAN, Palestin, Iran, Emiriyah Arab Bersatu, Turki, Brazil, Afrika Selatan, China, Jepun dan Taiwan.

MIHAS 2017 juga menganjurkan Pameran Gaya Hidup Islam Antarabangsa Malaysia yang pertama, iaitu acara bagi mempromosi sektor gaya hidup Islam.

Matlamatnya adalah untuk mempromosi kelompok seperti fesyen sederhana, pendidikan dan kesusasteraan Islam, kesenian Islam, teknologi maklumat dan multimedia, barang kemas dan perhiasan serta pembangunan sosial dan komuniti. -- BERNAMA