Hasil kejayaan memperoleh lebih daripada AS$1.6 bilion (AS$1 = RM4.29) dalam potensi perdagangan dan pelaburan, Malaysia sekali gus melepasi sasaran meraih RM1 bilion yang ditetapkan pada Ekspo Astana 2017, hanya dalam minggu pertama daripada tiga minggu acara berkenaan.

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Dr Tan Yew Chong berkata Malaysia mengguna pakai pendekatan berimpak tinggi dengan menggunakan teknologi canggih di Pavilion Malaysia di Ekspo di sini bagi menyakinkan pelabur berpotensi.

"Kami yakin dapat menarik lebih banyak pelaburan menjelang akhir ekspo tiga minggu ini yang bermula 10 Jun," katanya.

Tan bercakap pada sidang media sempena pelancaran pameran c di sini pada Isnin.

Sebelum itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau dan Duta Besar Malaysia ke Kazakhstan, Syed Mohamad Bakri menyaksikan pertukaran empat memorandum persefahaman (MoU) bernilai US$50.25 juta, dalam bidang teknologi hijau, antara Malaysia dan syarikat asing.

MoU terbabit melibatkan Nusantara Associates Ltd Liability Partnership (LLP) Kazakhstan dan Free The Seed Sdn Bhd bernilai US$30 juta dan perjanjian US$20 juta antara Nusantara dan Ronser Biotech Bhd.

"Dua perjanjian lain, dengan gabungan nilai US$250,000 ialah antara iCycle Sdn Bhd dan wilayah Guangzhou Tianhe dan iCycle serta negeri Kerala India," kata Madius.

Beliau berkata MoU tersebut membuktikan kepimpinan Malaysia dalam inovasi teknologi hijau.

"MoU juga mempromosikan impak sumber kitar semula yang merupakan asas dan inovasi sosial di Malaysia," katanya.

Madius mengetuai delegasi 26 perwakilan dari MOSTI, Perbadanan Pembangunan Bioekonomi Malaysia, SIRIM Bhd, Yayasan Malaysia bagi Inovasi dan sektor swasta ke pameran Minggu Inovasi Hijau bermula Isnin.

Bertema Inovasi Hijau, Memperkasa Masa Depan Anda, ia memberi tumpuan kepada kemampanan sumber biologi boleh baharu dan peralihan kepada produk bernilai tambah dalam industri makanan, biokimia, tenaga dan kesejahteraan penjagaan kesihatan menerusi teknologi inovatif dan cekap.

-- BERNAMA