KUALA LUMPUR:Malaysia berpeluang mendapat manfaat daripada potensi aliran masuk pelaburan apabila syarikat multinasional mempercepatkan keputusan mereka untuk mengoptimumkan model perniagaan serta mencari model operasi pusat yang 'bernilai tinggi, berimpak tinggi' di lokasi strategik.

Menurut panduan pelabur terbaharu Ernst and Young (EY), "KL calling: dynamic, digital, diverse", Kuala Lumpur semakin mendapat perhatian pelabur global sebagai lokasi pilihan utama untuk mengembangkan perniagaan mereka di rantau ini dan global.

Ketua Perunding dan Rakan Pengurus Perunding Malaysia EY Asean Chow Sang Hoe berkata susulan pandemik COVID-19, syarikat multinasional telah mempercepatkan keputusan mereka untuk menstruktur semula rantaian bekalan mereka, mempelbagaikan sumber bekalan dan mencari pangkalan pembuatan tempatan dan berdekatan pasaran ASEAN bagi mengurangkan gangguan dan ketidakpastian.

"Kedudukan Kuala Lumpur yang sangat kompetitif telah melonjakkannya menjadi lokasi pilihan utama." kata EY dan InvestKL dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif InvestKL, Muhammad Azmi Zulkifli berkata meskipun penularan COVID-19 yang masih berterusan, agensi itu masih giat berbincang dengan pelabur berpotensi dan berada di landasan untuk mencapai petunjuk prestasi utamanya untuk menarik 100 syarikat multinasional menjelang akhir tahun ini.

"Walaupun sesetengah pelabur mengambil pendekatan tunggu dan lihat, namun yang lain tetap komited kepada pelaburan mereka kerana mereka mempunyai pandangan jangka panjang.

"Banyak syarikat multinasional telah mengubah keputusan mereka ke arah Kuala Lumpur dan kami sedang berbincang dengan syarikat multinasional daripada sektor perkhidmatan tokokan nilai tinggi, teknologi dan digital yang melahirkan minat untuk mengembangkan kapasiti mereka atau membuka ibu pejabat serantau mereka di sini, di Kuala Lumpur," katanya.

Malaysia berada di kedudukan ke-12 dalam rangking Mudah Menjalankan Perniagaan Bank Dunia pada 2020 dengan jumlah pelaburan langsung asing dilulus berjumlah RM82.4 bilion pada 2019.

Pada 2019, InvestKL membantu lebih 90 syarikat multinasional yang berminat untuk menimbang membuka operasi di Greater KL.

Susulan pertumbuhan dua angka ekonomi digital Malaysia kepada hampir US$64 bilion (RM268 bilion) pada 2020, jumlah syarikat multinasional yang menyasarkan Kuala Lumpur sebagai sebahagian daripada pelan pengembangan mereka dijangka turut berkembang.

-- BERNAMA